Doktor warga AS terkejut terima e-mel arahan tinggalkan negara segera

Dr Lisa Anderson. Foto Agensi
Dr Lisa Anderson. Foto Agensi
A
A
A

CONNECTICUT – [DIKEMAS KINI] Seorang doktor yang dilahirkan di Amerika Syarikat dikejutkan dengan e-mel daripada pihak imigresen persekutuan yang mengarahkannya supaya segera meninggalkan negara itu.

Dr Lisa Anderson, 58, seorang pakar perubatan dari Cromwell, Connecticut, berkata, beliau menerima surat daripada Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) yang menyatakan bahawa “Sudah tiba masanya untuk anda meninggalkan Amerika Syarikat.”

Menurut laporan NBC Connecticut, Anderson merupakan seorang warganegara kelahiran Pennsylvania dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan isu imigresen.

“Bahasa dalam surat itu sangat mengancam, terutama jika ia ditujukan kepada individu yang benar-benar terlibat,” katanya.

Dalam pada itu, seorang pegawai kanan DHS memberitahu NBC News bahawa jabatan itu memang menghantar notis kepada individu yang tidak mempunyai status sah untuk tinggal di negara itu, namun mengakui kemungkinan notis berkenaan tersilap dihantar kepada penerima yang tidak berkaitan.

“Jika pihak asing memberikan e-mel bukan peribadi, seperti milik seorang rakyat Amerika, notis mungkin dihantar kepada penerima yang tidak sepatutnya,” kata pegawai itu.

Insiden yang menimpa Anderson berlaku hanya beberapa hari selepas seorang peguam imigresen di Boston, Nicole Micheroni juga warganegara AS turut menerima e-mel yang sama daripada DHS, mengarahkannya meninggalkan negara itu dalam tempoh tujuh hari.

Micheroni memberitahu MSNBC bahawa setakat Selasa lalu, tiada sebarang tindakan susulan daripada pihak berkuasa.

Anderson yang kini membawa pasport AS ke mana-mana sejak menerima e-mel itu berkata, beliau sedang mendapatkan khidmat guaman imigresen.

Artikel Berkaitan:

“Saya bimbang mungkin ramai lagi orang seperti saya di luar sana, yang mungkin menyangka e-mel ini hanyalah spam dan tidak sedar mereka sebenarnya menghadapi masalah,” katanya. -Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!