Ahli Cabang Tangga Batu mahu undian secara fizikal, lebih telus

Wah Ning (dua dari kanan) mendakwa undian secara online PKR tidak telus.
Wah Ning (dua dari kanan) mendakwa undian secara online PKR tidak telus.
A
A
A

MELAKA - Ahli Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tangga Batu tidak berpuas hati dengan sistem pengundian yang digunakan dalam sesi pemilihan baru-baru ini kerana didakwa tidak telus.

Calon Ketua Cabang PKR Tangga Batu, Tey Wah Ning mendakwa berlaku manipulasi sistem pengundian menyebabkan dirinya tewas pada saingan tiga penjuru itu disebabkan ketelusan yang meragukan.

Wah Ning berkata, apa yang berlaku di cabang itu turut mengalami nasib sama di cabang lain termasuk Hang Tuah Jaya, Kota Melaka, Alor Gajah dan Masjid Tanah yang mempertikaikan sistem yang digunakan.

Menurutnya, Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) memaklumkan jumlah keluar mengundi seramai 1,376 tetapi ketua cabang ada 1,375, jawatan timbalan 1,368 dan naib pula 1,367 undi.

"Apa yang berlaku sangat pelik jumlah keseluruhan tidak sama.

"Sepatutnya bila kita guna aplikasi yang teknologi ini, mesti ketiga-tiga calon yang bertanding jawatan ketua cabang, undi keseluruhan akan sama tetapi sebaliknya jumlah itu tidak sama," katanya di sini pada Isnin.

Tambahnya, ketika sesi mengundi tiga jawatan utama setiap pengundi mesti memilih ketua, timbalan dan naib jika tidak undian itu tidak diterima masuk oleh aplikasi tersebut.

Malah ujarnya, mendakwa ada calon yang tidak aktif mengundi serta berkempen tetapi memperoleh undi tertinggi berbanding calon yang aktif.

"Selain itu peratusan keluar mengundi meningkat hampir 30 peratus dalam masa tiga jam dan ini menimbulkan keraguan.

Artikel Berkaitan:

"Saya juga telah mengemukakan surat bantahan yang disertakan dengan bukti-bukti kepada JPP dan harap pihak berkenaan dapat membuat pertimbangan pemilihan semula Cabang Tangga Batu secara fizikal dan bukannya secara atas talian," ujarnya lagi.

Pada pemilihan tersebut, Wah Ning sekadar memperoleh 198 undi manakala jawatan tersebut dimenangi Azlan Osman yang mendapat 609 undi manakala bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang, Datuk Gue Teck turut kalah dengan meraih 568 undi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!