TYT baharu, Kon Yeow masih enggan dedah nama

GEORGE TOWN - Pelantikan Yang di-Pertua Negeri (TYT) Pulau Pinang yang baharu masih menjadi teka-teki apabila sehingga kini, tiada sebarang nama individu didedahkan untuk mengisi jawatan tersebut.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, urusan pelantikan adalah tanggungjawab pihak istana selepas senarai nama diserahkan oleh kerajaan negeri kepada Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada Mac lalu.
Bagaimanapun, beliau masih berpegang pada pendiriannya untuk tidak mendedahkan nama individu yang bakal mengisi jawatan berkenaan selain memberikan jawapan bersifat umum.
"Jawapan sama, belum ada (siapa bakal dilantik sebagai TYT). Memang tunggu keputusan istana.
"Apabila sampai kepada istana, mereka akan buat pengumuman," katanya selepas menghadiri Sidang Kemuncak Pemerkasaan Pendidikan 2025 di sini yang turut dihadiri Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek pada Isnin.
Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada terdapat sebarang perkembangan baharu daripada pihak istana berhubung perkara tersebut memandangkan tempoh perkhidmatan TYT Pulau Pinang bagi penggal ini akan tamat pada hujung April, Kon Yeow tetap enggan mengulas lanjut.
"Satu hari dalam dunia politik pun amat panjang," katanya.
Sebelum ini, timbul khabar angin mengenai nama-nama calon TYT Pulau Pinang yang bakal menggantikan Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.
Antara nama yang disebut ialah bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Ramli Ngah Talib.
Untuk rekod, tiga TYT Pulau Pinang sebelum ini bukan berasal dari negeri ini iaitu Tun Sardon Jubir dari Rengit, Batu Pahat, Johor yang berkhidmat dari 1975 hingga 1981.
Tun Dr Awang Hassan pula berasal dari Muar, Johor dan berkhidmat dari 1981 hingga 1989.
Selain itu, Tun Hamdan Sheikh Tahir, berasal dari Kuala Kangsar, Perak dan berkhidmat dari 1989 hingga 2001.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

