Remaja perempuan 14 tahun dibaham singa

Mangsa telah dibaham dari sebuah kediaman di sebuah ladang berhampiran taman negara berkenaan.
Mangsa telah dibaham dari sebuah kediaman di sebuah ladang berhampiran taman negara berkenaan.
A
A
A

NAIROBI - Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun maut di kawasan pinggir ibu negara Kenya, selepas diserang seekor singa yang dipercayai terkeluar dari habitatnya di Taman Negara di sini pada Sabtu.

Perkhidmatan Hidupan Liar Kenya (KWS) dalam satu kenyataan berkata, mangsa telah dibaham dari sebuah kediaman di sebuah ladang berhampiran taman negara berkenaan.

Menurutnya, insiden tersebut telah disedari oleh seorang lagi remaja yang kemudian membunyikan amaran sebelum renjer KWS mejejak kesan tapak haiwan terbabit sehingga ke Sungai Mbagathi, di mana mayat mangsa ditemukan.

“Pasukan kami berjaya mengesan jejak mangsa dan menemui mayat di Sungai Mbagathi. Mangsa dipercayai cedera teruk pada bahagian belakang badan.

“Namun ketika menemui mangsa, singa berkenaan tiada di kawasan tersebut,” katanya.

Taman Negara Nairobi terletak hanya 10 kilometer dari pusat bandar dan merupakan habitat kepada pelbagai spesies haiwan liar termasuk singa, kerbau, harimau bintang dan zirafah.

Taman itu dipagari di tiga bahagian bagi menghalang haiwan liar memasukkan kawasan bandar namun dibuka di bahagian selatan bagi membolehkan haiwan bermigrasi keluar dan masuk ke kawasan tersebut.

Tambah KWS, pihaknya telah memasang perangkap untuk menangkap semula singa terbabit manakala pasukan khas turut digerakkan bagi menjalankan operasi pencarian menyeluruh di kawasan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Dalam kejadian berasingan, seorang lelaki berusia 54 tahun dilaporkan maut selepas diserang seekor gajah di daedah Nyeri, kira-kira 130 kilometer di utara Nairobi.

Mangsa mengalami kecederaan serius di bahagian dada, patah tulang serta trauma dalaman sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital berdekatan.

KWS juga menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa selain memberi jaminan akan meneruskan kerjasama erat dengan pihak berkuasa tempatan dan komuniti setempat bagi memperkukuh keselamatan di kawasan berhampiran habitat haiwan liar.

“Kami bersimpati atas kejadian menimpa mangsa dan akan memastikan keselamatan penduduk yang tinggal berdekatan kawasan perlindungan haiwan liar terus terpelihara,” katanya.

Sementara itu, Ketua kumpulan pemuliharaan WildlifeDirect, Paula Kahumbu berkata, kejadian ini bukan kes terpencil dan menggesa KWS mempertingkat penilaian risiko serta memastikan komunikasi tepat dan masa nyata mengenai pergerakan serta tingkah laku haiwan liar, khususnya di kawasan berisiko tinggi seperti Ladang Savannah, lokasi serangan singa ke atas remaja perempuan itu.

Beliau turut mengesyorkan semua rumah penginapan, kem, dan kediaman berhampiran kawasan habitat haiwan liar dilengkapi sistem pencegah pemangsa, termasuk lampu, penggera, pagar keselamatan, dan semburan khas anti-pemangsa.

"Langkah pencegahan adalah benteng pertahanan pertama dan terbaik kita," tegasnya. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!