Bunga Raya 15s keluar sekejap Divisyen Premier ARC

HASRAT skuad ragbi 15 sebelah (15s) negara untuk kekal bersaing dalam Divisyen Premier Kejuaraan Ragbi Asia (ARC) tidak kesampaian apabila tewas kepada Sri Lanka dalam perlawanan playoff pada Sabtu.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Racecourse, Colombo Bunga Raya 15s kendalian Mohd Saizul Hafifi Md Noor ketinggalan 7-33 kepada pasukan tuan rumah yang juga juara Divisyen Satu ARC musim lalu separuh masa pertama.
Separuh masa kedua, pemain Bunga Raya cuba bangkit menyaingi The Tuskers bimbingan Sanath Martis, namun lawan meningkatkan tekanan untuk menang 59-19.

Keputusan di bumi Colombo itu menyaksikan skuad ragbi 15s negara terpaksa melupakan sementara beraksi di pentas Divisyen Premier ARC yang dijadualkan menyingkap tirai Jun depan.
Sri Lanka, tampil ke pentas playoff selepas menjuarai ARC Divisyen Satu 2024, berdepan Malaysia yang sebelum ini berada dalam saingan elit itu sejak 2018, menduduki tempat keempat Divisyen Premier 2024 di belakang Hong Kong, Korea Selatan, dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!