Proses permohonan Rumah Mesra Rakyat kini lebih pantas - KPKT

SHAH ALAM – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menaik taraf sistem permohonan Rumah Mesra Rakyat (RMR) menerusi e-RMR bagi mempercepat proses secara lebih efisien.
KPKT berkata, sistem tersebut dinaik taraf daripada sistem terdahulu kepada versi laman sesawang yang mana kerja-kerja manual dipinda kepada proses automatik dan tanpa kertas.
“Sistem e-RMR merupakan sebuah platform permohonan RMR yang memudah dan mempercepat proses kerja.
“Oleh itu, pelaksanaan kerja diselesaikan dengan lebih pantas, tepat dan efisien selaras dengan misi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) untuk menyediakan kediaman berkualiti kepada golongan B40,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Pelancaran e-RMR dilaksanakan serentak dengan M-Niaga Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) pada Majlis Madani Muhibah sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran KPKT.
Pada majlis yang dihadiri kira-kira 5,000 tetamu itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming turut menyantuni enam penerima RMR serta Program Baik Pulih Rumah di Bandar (PBPR) dan Program Bina Baharu Rumah di Bandar (PBBR) menerusi penyampaian Inisiatif Perumahan KPKT.
Sementara itu, menurut KPKT, unit komersial M-Niaga dilancarkan untuk memperkasa sosioekonomi komuniti tempatan dengan menyediakan sebanyak 256 unit komersial dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) berjumlah RM160.15 juta.
Inisiatif tersebut bertujuan menyokong perniagaan kecil dan sederhana dalam kawasan kediaman PR1MA.
“Ia berkeluasan antara 689 hingga 5,803 kaki persegi. Unit-unit ini menampilkan reka bentuk fleksibel dan susun atur praktikal, sesuai untuk pelbagai jenis perniagaan.
“Setiap unit M-Niaga bermula daripada RM289,800 dan terletak di Selangor, Perak, Melaka, Kedah, Kelantan, Johor, Sabah dan Sarawak,” menurut kenyataan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!