Polis cari wanita bantu kes curi dompet di Pasar Siti Khadijah

KOTA BHARU - Seorang wanita diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu bagi membantu siasatan berkaitan kes curi di Pasar Siti Khadijah.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Rosdi Daud berkata, kejadian itu tular sejak Jumaat (semalam) selepas satu video daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dimuat naik oleh seorang individu di media sosial.
Video berdurasi 42 saat itu memaparkan gelagat seorang wanita bertudung ungu dalam keadaan mencurigakan di hadapan sebuah kedai.
Wanita tersebut kemudian berpura-pura melintasi belakang seorang wanita lain yang sedang membeli barangan di kedai berkenaan, sebelum dipercayai menyeluk beg sandang mangsa.
Rakaman CCTV di premis itu turut memaparkan suspek berlalu pergi meninggalkan lokasi dan disyaki membawa dompet kecil tanpa disedari pemiliknya.
“Mana-mana pihak yang mengenali individu yang dipaparkan serta mempunyai sebarang maklumat dimohon memberi kerjasama bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat berhubung kes itu dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Mohd Syawal Abd Mutolib di talian 014-6775994 atau 09-7752242.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
