Perkhidmatan Tabung Haji di Tanah Suci diakui terbaik

Pengurusan TH lebih terkedepan dan sering dijadikan contoh oleh negara Islam lain. Gambar kecil: Mohd Uzir
Pengurusan TH lebih terkedepan dan sering dijadikan contoh oleh negara Islam lain. Gambar kecil: Mohd Uzir
A
A
A

SHAH ALAM - Perkhidmatan yang disediakan oleh Lembaga Tabung Haji (TH) diakui sebagai antara yang terbaik dalam memastikan kebajikan jemaah haji Malaysia terpelihara sepanjang berada di Tanah Suci.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin yang menunaikan ibadah haji dua tahun lalu berkata, pelbagai kemudahan yang disediakan TH memudahkan urusan jemaah, termasuk perkhidmatan klinik serta doktor bertugas yang lengkap bagi menangani sebarang isu kesihatan.

Menurut Mohd Uzir, dari segi penyediaan makanan pula, beliau mengakui bahawa hidangan yang disediakan semakin baik dan pelbagai.

“Makanan yang disediakan bukan sahaja mengikut cita rasa Malaysia, tetapi juga berkualiti dan sedap. Walaupun ada ketikanya makanan yang disediakan oleh pihak ketiga mengalami sedikit kelewatan, namun penyelia TH sentiasa memantau bagi memastikan jemaah mendapat makanan mereka tepat pada masanya,” katanya.

Tambah beliau, pengurusan TH juga lebih terkedepan berbanding negara lain dan sering dijadikan contoh dalam kalangan negara Islam.

Katanya, sistem pengenalan diri yang diperkenalkan oleh TH sangat membantu jemaah dalam pengurusan pergerakan mereka di Tanah Suci.

“Bayangkan kita berada dalam kelompok jutaan manusia, tanpa sistem pengurusan yang sistematik, sudah tentu keadaan menjadi sukar.

“TH telah membuktikan kecekapan mereka dalam aspek ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, walaupun terdapat kekangan tertentu seperti ruang terhad di Mina yang tidak boleh diubah melainkan dengan pembinaan bangunan bertingkat, namun usaha pihak berkuasa Arab Saudi dalam menguruskan jutaan jemaah haji tidak boleh dinafikan.

“Ketidakselesaan di Mina dirasai oleh semua jemaah, bukan hanya jemaah Malaysia.

“Bagaimanapun, apa yang membezakan kita dengan negara lain adalah perkhidmatan TH yang terbaik dalam menjaga kebajikan jemaah,” katanya.

Sementara itu, pesara guru, Shahidan Ahmad, 72, berkata, anak-anak yang berada di tanah air tidak perlu risau mengenai kebajikan ibu bapa mereka yang ke Tanah Suci.

Berdasarkan pengalamannya sebelum ini pengurusan TH dilihat terbaik dan pihak itu akan sentiasa mempermudahkan pergerakan jemaah sama ada di Makkah atau Madinah

“Penginapan terbaik, klinik dekat, petugas TH ramai, kalau nampak kita seperti sesat jalan mereka akan bantu.

“Tidak perlu risau dengan keadaan ibu bapa yang berusia lanjut di Tanah Suci, TH akan sedaya upaya bantu,” katanya yang menunaikan ibadah haji tahun lalu bersama isterinya.

Dalam pada itu, Shahidan yang mendaftar haji pada 2009 berharap supaya TH selepas ini mengutamakan warga emas yang belum mendapat tawaran haji bagi menunaikan ibadah itu.

“Kalau boleh, pilihlah mereka yang telah berusia untuk menunaikan haji, ramai kawan saya masih menunggu panggilan haji masing-masing,” katanya.

Untuk rekod, TH telah memulakan persiapan bagi musim haji 1446H/2025M.

Kursus Intensif Haji sudah dianjurkan pada 31 Januari hingga 28 Februari lalu.

Kursus Perdana Haji akan diadakan bermula 11 April hingga 4 Mei di masjid-masjid terpilih bagi memastikan bakal haji mendapat persediaan secukupnya dalam aspek ilmu ibadah serta persiapan fizikal dan mental sebelum berangkat ke Tanah Suci.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!