PH perlu dukung amalan demokrasi

Muhammad Faiz Hashim
Muhammad Faiz Hashim
A
A
A

KUANTAN - Pemuda Umno Malaysia menempelak kenyataan Senator PKR, Bob Manolan Mohd yang mengugut Ketua-ketua kampung Orang Asli atau Tok Batin di Cameron Highlands yang mungkin kehilangan gaji dan jawatan mereka jika tidak mengundi kerajaan persekutuan pada PRK pada 26 Januari ini.

Exco Pemuda Umno, Muhammad Faiz Hashim berkata, kerajaan PH sepatutnya mendukung amalan demokrasi yang lebih baik lagi namun perkara sebaliknya berlaku sehingga sanggup mengugut Tok Batin yang jelas bertentangan dengan amalan prinsip demokrasi dijunjung sebelum ini.

“Kita kena faham, Tok Batin dilantik oleh suku kaum masing-masing dan bukannya dilantik oleh kerajaan. Tok Batin adalah pemimpin masyarakat bagi suku kaum tersebut.

“Semasa kerajaan BN memerintah sebelum ini, ada juga Orang Asli yang menyokong pembangkang tetapi hak mereka tetap kerajaan BN beri kerana mendukung amalan demokrasi,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Menurutnya, PH dilihat begitu sombong, angkuh serta bongkak dan berikutan itu rakyat perlu menolak melalui PRK Cameron kali ini bagi menunjukkan kuasa rakyat adalah lebih besar berbanding kuasa yang kerajaan ada ketika ini.

“Rakyat perlu bijak memilih antara kaca dan permata kerana jika silap memilih, rakyat lah yang akan menanggungnya nanti,” katanya.

Kelmarin, pada sesi dialog dengan Tok-tok Batin di kubu BN di Pos Betau, Jelai, kelmarin, Bob mendakwa Tok Batin di Cameron Highlands mungkin kehilangan gaji dan jawatan mereka jika tidak mengundi kerajaan persekutuan pada PRK kali ini.

Beliau menjelaskan Tok Batin dibayar oleh Kerajaan Pusat dan perlu dibuang jika tidak menyokong PH.

Artikel Berkaitan: