[VIDEO] 'Saya tertekan tinggal bawah bumbung tidak selamat’ – Zahnita

A
A
A

KUANTAN – “Saya akan terus tertekan jika terus tinggal di bawah satu bumbung yang tidak selamat.”

Demikian kata bekas model dan pelakon, Zahnita yang nekad meneruskan penceraian dengan suaminya, Abdul Zackery Ghouse Abdul Gafor, 47, susulan kemelut rumah tangga yang tidak berpenghujung.

Zahnita atau nama sebenar Zahnita Dorothy Hussein Wilson, 40, berkata, keputusan tersebut diambil demi kebajikan anak-anak selain menjaga kestabilan kesihatan mental dirinya yang semakin terjejas.

Zanitha (kanan) ditemani abangnya hadir pada prosiding sebutan di Mahkamah Syariah Kuantan di sini pada Jumaat. Foto Sinar Harian.
Zanitha (kanan) ditemani abangnya hadir pada prosiding sebutan di Mahkamah Syariah Kuantan di sini pada Jumaat. Foto Sinar Harian.

"Saya hendak teruskan penceraian juga sebab demi anak-anak.. duduk bawah satu bumbung yang tidak selamat ini tidak baik, bukan sahaja untuk mereka (anak-anak), tapi untuk saya juga.

“Saya sudah tahan lama (untuk) duduk bawah bumbung yang sedang ‘runtuh’. Apa yang jadi dengan saya, saya kena berjuang sebab ini dan ia memang tidak selamat,” katanya. ketika ditemui selepas prosiding di Mahkamah Syariah Kuantan pada Jumaat.

Zahnita berbusana biru muda hadir ditemani abangnya pada prosiding sebutan di Mahkamah Syariah Kuantan di sini pada Jumaat. Foto Sinar Harian
Zahnita berbusana biru muda hadir ditemani abangnya pada prosiding sebutan di Mahkamah Syariah Kuantan di sini pada Jumaat. Foto Sinar Harian

Pada prosiding itu, tiga kes disebut melibatkan permohonan perceraian, tuntutan perintah injunksi bagi menghalang gangguan serta permohonan hadanah meliputi hak lawatan dan bermalam terhadap anak pasangan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Zahnita yang pernah membintangi filem Gila-Gila Pengantin Remaja berkata, biarpun suaminya menyuarakan hasrat agar anak-anak dapat terus bersama kedua-dua ibu bapa, namun ia tidak baik, jika persekitaran tidak menyokong kestabilan emosi mereka.

"Suami saya kata kalau boleh nak anak-anak bersama ibu dan bapa, tapi kalau duduk bersama dalam keadaan yang penuh tekanan dari segi emosi dan mental itu tidak selamat untuk mereka.

“Kegembiraan seorang ibu adalah kegembiraan keluarga. Kalau ibu murung, tertekan dan tidak bahagia, anak-anak juga akan turut rasa benda yang sama,” jelasnya lagi.

Mengulas dakwaan yang dilemparkan oleh bekas rakan kongsi perniagaan, Zahnita menegaskan setiap tuduhan perlu disertakan bukti yang sahih.

Zahnita, Abdul Zackery. Foto Sinar Harian
Zahnita, Abdul Zackery. Foto Sinar Harian

“Kalau dia buat tuduhan, tunjukkan bukti. Saya tidak pernah menyerang sesiapa, dan saya juga tidak berniat membalas. Apa yang saya mahukan hanyalah kebebasan untuk diri saya,” katanya.

Sementara itu, Abdul Zackery pula berharap agar semua isu yang membelenggu rumah tangga mereka dapat diselesaikan secara baik demi masa depan anak-anak.

Katanya, meskipun kes masih di peringkat perbicaraan dan tidak banyak perkara boleh didedahkan, keutamaannya kini adalah memastikan kesejahteraan anak-anak terus terpelihara.

“Segala yang saya perjuangkan adalah demi anak-anak. Mereka menjadi kekuatan saya ketika ini,” katanya ringkas.

Terdahulu, Zahnita pada 2 Disember tahun lalu berkongsi foto di Instagram yang memaparkan bahagian mata kirinya lebam.

Dakwa aktres berkenaan, punca kecederaan tersebut adalah disebabkan dibelasah oleh suami sendiri selain mengatakan Abdul Zackery mempunyai hubungan dengan wanita lain.

Susulan itu, pada 4 Disember 2024, Abdul Zackery didakwa di Mahkamah Majistret Kuantan atas dua tuduhan mendatangkan kecederaan terhadap isteri dan dadah.

Abdul Zackery bersama birasnya hadir pada program sebutan kes tuntutan yang difailkan Zahnita di Mahkamah Syariah Kuantan pada Jumaat. Foto Sinar Harian.
Abdul Zackery bersama birasnya hadir pada program sebutan kes tuntutan yang difailkan Zahnita di Mahkamah Syariah Kuantan pada Jumaat. Foto Sinar Harian.

Bagaimanapun Abdul Zackery mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan tersebut.

Tidak tahan menjadi mangsa keganasan rumah tangga, Zahnita kemudiannya nekad memfailkan cerai terhadap suaminya itu di Mahkamah Rendah Syariah Kuantan, Pahang pada 3 Disember tahun lalu.

Beliau memfailkan cerai terhadap suaminya, Abdul Zackery di Mahkamah Rendah Syariah Kuantan diwakili peguam syarie dari Asyikin Partners.

Pada 6 Disember tahun lalu, Zahnita mendapat hak hadanah sementara terhadap empat anaknya di Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan.

Pada Mac lalu, Abdul Zackery memaklumkan pihak mahkamah menggugurkan tuduhan dirinya daripada dakwaan mendera empat orang anaknya selain mendapat hak lawatan dan bermalam.

Zahnita mendirikan rumah tangga dengan Abdul Zackery pada 2005.

Mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Zahrafeena, 18, Zasharayna Ghouse, 13, Zahlia Syawwal, 8 dan Abd Zayden Ghouse, 4 tahun.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!