Suspek memandu lawan arus koma, polis belum rakam percakapan

Keadaan kereta yang dipandu suspek. Foto IPD Batu Pahat
Keadaan kereta yang dipandu suspek. Foto IPD Batu Pahat
A
A
A

BATU PAHAT - Rakaman percakapan suspek yang memandu melawan arus hingga merempuh seorang penghantar makanan di Kawasan Perindustrian Sri Gading di sini pada Khamis masih tidak dapat dibuat kerana dilaporkan koma.

Menurut Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, pihaknya masih menunggu perkembangan suspek berusia 54 tahun itu yang dilaporkan masih tidak sedarkan diri di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI).

"Siasatan mendapati, kemalangan tersebut berlaku pada jam 9.40 malam di Kilometer 8.5, Jalan Kluang berdekatan Kawasan Perindustrian Sri Gading ini membabitkan kereta dipandu lelaki berkenaan dan motosikal ditunggang seorang lelaki berusia 37 tahun.

"Ketika kejadian, penunggang motosikal dipercayai dalam perjalanan dari arah Batu Pahat menuju ke Pura Kencana dan sebaik tiba di lokasi, berlaku pertembungan dengan kereta dipandu suspek secara melawan arus.

Keadaan motosikal mangsa. Foto IPD Batu Pahat
Keadaan motosikal mangsa. Foto IPD Batu Pahat

"Akibatnya, suspek dan penunggang motosikal parah di kepala dan dirawat di zon merah HSNI," katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Untuk rekod, penghantar makanan, Mohd Hairi Jaafar, 37, patah tangan kiri serta kaki kanan selepas motosikal dinaikinya dirempuh suspek.

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ), 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan itu diminta tampil di mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!