Pemandu Porsche lari tak bayar minyak, pekerja terpaksa tanggung rugi

Kereta Porsche yang didakwa melarikan diri sebelum membayar minyaknya. Sumber gambar Douyin
Kereta Porsche yang didakwa melarikan diri sebelum membayar minyaknya. Sumber gambar Douyin
A
A
A

CHINA - Seorang pemandu kereta mewah Porsche didakwa melarikan diri tanpa membayar bil minyak berjumlah 500 yuan (RM325) di sebuah stesen minyak di lebuh raya yang menghubungkan wilayah Hubei dan Shaanxi, pada 12 Mac lalu.

Rakaman kejadian yang tular di media sosial Douyin menunjukkan, seorang pekerja wanita sedang menyambungkan hos pam ke kenderaan berkenaan sebelum membersihkan cermin hadapan kereta itu.

Pekerja terbabit, yang dikenali sebagai Song, merupakan satu-satunya kakitangan yang bertugas pada hari kejadian.

Selepas selesai mengisi minyak, pemandu kereta tersebut dilihat keluar sebentar dari kenderaannya sambil memegang telefon bimbit, sebelum tiba-tiba memecut meninggalkan kawasan itu tanpa membuat sebarang pembayaran.

Song kemudian dilihat cuba mengejar kenderaan itu, namun gagal memberhentikannya.

Menurut South China Morning Post (SCMP), kereta jenis Porsche itu dianggarkan bernilai US$75,000 (RM356,000).

Akibat insiden itu, Song terpaksa menanggung sendiri bayaran minyak tersebut memandangkan semua transaksi perlu diselesaikan sebelum tamat syif bekerja.

Dia berkata, gajinya pada bulan lalu hanyalah 2,800 yuan (RM1,820) dan kini menanggung dua anak perempuan yang masih bersekolah.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, dia memuat naik rakaman kejadian ke media sosial kerana berasa marah dan berharap dapat mengesan lelaki terbabit serta mendesaknya bertanggungjawab atas perbuatannya.

Bagaimanapun, pengurus stesen minyak tempat Song bekerja tampil membantu dengan menggantikan semula jumlah bayaran tersebut.

Empat hari selepas kejadian, usaha pihak keselamatan awam di Hubei dan Shaanxi berjaya mengesan pemandu terbabit yang kemudiannya menghubungi pihak polis.

Lelaki itu cuba mengelak hukuman dengan memohon maaf serta memindahkan wang 500 yuan (RM325) kepada stesen minyak terbabit.

Namun begitu, pihak polis tetap memanggilnya ke balai untuk siasatan lanjut.

Menurut undang-undang China, individu yang gagal melunaskan bayaran boleh dikenakan denda sehingga 1,000 yuan (RM650) dan ditahan maksimum 15 hari.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) turut mendapati kenderaan tersebut tidak mempunyai nombor plat, satu kesalahan serius di negara berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!