Ilustrasi Jalur Gemilang: Ketua pengarang, timbalan selesai dirakam keterangan hampir 3 jam

Razarudin
Razarudin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis mengesahkan telah selesai mengambil keterangan ketua pengarang dan timbalan ketua pengarang sebuah akhbar berbahasa Cina berhubung siasatan kesilapan memaparkan ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap tanpa bulan sabit, pada Khamis.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, proses rakaman keterangan selama hampir tiga jam itu dijalankan oleh pegawai dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman.

“Proses rakaman keterangan selesai sepenuhnya pada jam 3.45 petang.

“Setakat ini, semakan mendapati sebanyak 40 laporan polis telah diterima berhubung kes ini,” katanya pada Khamis.

Sinar Harian pada Khamis melaporkan bahawa siasatan awal mendapati kedua-dua individu terbabit telah meluluskan gambar berkenaan, selain salah seorang pereka grafik akhbar tersebut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1)(c) Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 dan Seksyen 4(1)(b) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai ilustrasi Jalur Gemilang yang diletakkan bersebelahan bendera China namun tidak lengkap kerana tiada bulan sabit.

Susulan itu, akhbar berbahasa Cina berkenaan tampil memohon maaf atas kesilapan memaparkan ilustrasi tersebut pada muka hadapan akhbarnya.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, agensi media itu menjelaskan bahawa bulan sabit tidak kelihatan disebabkan kesilapan teknikal yang tidak disengajakan.

Artikel Berkaitan:

Pindaan segera telah dilakukan terhadap versi digital ilustrasi, manakala ilustrasi yang telah disemak dan disempurnakan akan diterbitkan semula dalam versi cetakan akhbar pada Rabu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!