'Nor Azurah sudah tiada, hanya 8 bulan sempat bergelar isteri'

SHAH ALAM – Selepas kira-kira lapan bulan berkongsi hidup, Lokman Sumadi, 36, terpaksa menerima hakikat isteri tercinta, Nor Azurah Othman, 40, yang menderita barah paru-paru tahap empat, kini tiada lagi di sisi menemani hidupnya.
Pasangan suami isteri berkenaan pernah tular selepas video mereka diijabkabulkan secara dalam talian pada 18 Ogos tahun lalu berikutan Nor Azurah sedang berjuang melawan penyakit maut itu sehingga mendapat perhatian ramai.
Kini, Lokman terpaksa menerima hakikat perlu menjalani hidup sendirian selepas isteri tercinta meninggal dunia awal pagi Rabu di rumah keluarganya di Kampung Sungai Kelambu, Banting, Selangor.
Difahamkan, Nor Azurah sebelum itu dimasukkan ke hospital pada 10 April lalu kerana keadaannya semakin lemah.
“Selepas pemeriksaan lanjut, doktor beritahu saya dan keluarga isteri supaya bersedia dengan segala kemungkinan.
“Doktor pun sudah buat terbaik dengan memberi antibiotik selepas mendapati ada jangkitan kuman. Namun, ALLAH SWT lebih menyayangi isteri saya yang meninggal dunia tidak lama selepas tiba di rumah jam 2.08 pagi pada Rabu,” katanya seperti dilapor portal media tempatan pada Khamis.

Mengakui sedih dengan kehilangan isteri tersayang, namun reda dengan pemergian tersebut dan dalam masa sama bersyukur kerana sempat berada di sisi ketika Allahyarham menghembuskan nafas terakhir.
Menurut Lokman, meskipun isterinya tiada lagi di sisi, namun segala memori dan kasih sayang diberikan Nor Azurah akan kekal dalam ingatan.
“Walaupun isteri terlantar, dia jaga makan minum saya. Dia tahu saya suka makan tempoyak dan belikan secara dalam talian.
“Saya bahagia sepanjang menjadi suaminya walaupun arwah selalu minta maaf kerana anggap dirinya bukan isteri yang sempurna,” katanya.
Kisah cinta tulus dan sejati Lokman serta Nor Azurah pernah menjadi perhatian warga maya selepas pasangan itu diijabkabulkan di rumah keluarga di Banting manakala Nor Azurah sedang mendapatkan rawatan di wad Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Biarpun kedua-duanya hanya dihubungkan melalui panggilan video, namun majlis berlangsung dengan sempurna.
Sebaik melafazkan ijab kabul, bapa kepada dua cahaya mata itu bergegas ke hospital menyarungkan cincin perkahwinan dan mengucup dahi sehingga menyentuh hati warga maya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

