Saksi tidak tahu tujuan penasihat undang-undang MIC ke Arab Saudi

Najib hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. -Foto Bernama
Najib hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang Penolong Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, bahawa bekas penasihat undang-undang MIC, Datuk Selva Mookiah turut hadir bersama ketika kumpulan pegawai penyiasat suruhanjaya anti rasuah itu ke Riyadh, Arab Saudi pada 29 November 2015 bagi siasatan kes berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB)

Saksi kesembilan berkenaan, Mohd Nasharudin Amir memberi keterangan demikian ketika pemeriksaan balas dilakukan oleh Timbalan Pendakwaraya, Datuk V Sithambaram dalam prosiding sambung bicara kes penyelewengan dana SRC International di hadapan Hakim, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, hari ini.

Mohd Nasharudin memaklumkan mahkamah, dia turut bersama kumpulan dari SPRM itu pergi ke Riyadh pada akhir November 2015.

Saksi berkenaan sebelum ini memberitahu, dia bersama seorang lagi pegawai SPRM mengambil keterangan seorang individu yang didakwa Putera Arab iaitu Putera Saud Abdul Aziz Malik Abdul Aziz, dan keterangan Abdul Aziz ditandatangani oleh peguamnya di Riyadh pada 29 November 2015.

Pada masa sama Mohd Nasharudin memberitahu, pihaknya turut mengambil keterangan seorang individu bernama Tan Kim Loong yang didakwa sebagai wakil kepada ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low ketika di Riyadh.

Sithambaram: Anda jumpa Selva Mookiah ketika ambil keterangan di Riyadh pada 29 November 2015.

Nasharudin: Ya.

Sithambaram: Atas kapasiti apa dia (Selva) di Riyadh ketika dua keterangan diambil. Dia wakili siapa?

Artikel Berkaitan:

Nasharudin: Saya tidak pasti diwakilkan siapa di Riyadh. Saya hanya tahu dia ada di sana ketika keterangan diambil.

Sithambaram: Jika ada seorang peguam dalam pasukan SPRM ketika keterangan diambil, apakah peranan dia di sana?

Nasharudin: Saya tak tahu.

Sithambaram: Adakah dia (Selva) kata dia peguam Tan Kim Loong, atau orang lain?

Nasharudin: Tidak.

Terdahulu, Selva adalah antara saksi yang dipanggil oleh pasukan pembelaan dalam perbicaraan terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu.

Najib sedang membela diri terhadap tujuh pertuduhan menyeleweng RM42juta dana SRC International membabitkan tiga tuduhan pecah amanah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kedudukan berkaitan dana SRC.

Perbicaraan bersambung esok dan dijangka Selva serta seorang lagi pegawai SPRM memberi keterangan.