Mahu Jualan Sejahtera Rakyat lebih kerap, jimat banyak

Tawaran dua papan telur pada harga RM9 antara yang mencuri tumpuan orang ramai dalam Jualan Sejahtera Rakyat. Gambar kecil: Ahmad, Ramlah, Partiban
Tawaran dua papan telur pada harga RM9 antara yang mencuri tumpuan orang ramai dalam Jualan Sejahtera Rakyat. Gambar kecil: Ahmad, Ramlah, Partiban
A
A
A

TAPAH - Penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning mahu pelaksanaan Jualan Sejahtera Rakyat yang menawarkan harga 20 peratus lebih murah daripada pasaran diadakan lebih kerap di semua kawasan.

Warga emas, Ramlah Mohd Zaki, 63, dari Kampung Haji Dahlan berkata, inisiatif oleh kerajaan Perak itu dapat membantunya berjimat dalam mendapatkan barangan keperluan dapur.

"Saya bawa duit dalam RM40, dapat beli ikan cencaru, sotong dan sayur untuk bekalan masak minggu ini. Kalau di luar, tak dapat dengan harga begitu.

Orang ramai tidak melepaskan peluang mendapatkan pelbagai hasil laut yang ditawarkan pada harga lebih rendah daripada pasaran di Jualan Sejahtera Rakyat.
Orang ramai tidak melepaskan peluang mendapatkan pelbagai hasil laut yang ditawarkan pada harga lebih rendah daripada pasaran di Jualan Sejahtera Rakyat.

"Minta-minta adalah lagi jualan seperti ini. Dapatlah kami yang kurang mampu ini membeli dalam kuantiti yang banyak, tetapi murah," katanya kepada Sinar Harian.

V Partiban, 43, berkata, lokasi Jualan Sejahtera Rakyat yang tertumpu di kawasan penempatan penduduk memudahkan mereka untuk membeli.

Katanya, seperti jualan yang berlangsung di Dewan Serbaguna dekat Perumahan Awam 2 Air Kuning, membolehkan ibunya berulang alik mendapatkan barangan.

"Mula-mula mak saya beli ikan, udang dan sayur. Selepas balik rumah, dia minta saya bawanya ke tempat jualan lagi.

"Kali ini dia beli telur dan minyak pula. Saya rasa harga memang berbaloilah, jauh lebih murah dari pasar pagi.

Artikel Berkaitan:

"Dua papan telur boleh dapat harga RM9, ayam pula seekor RM5. Kalau buat selalu, mesti lebih ramai dapat manfaat jualan murah ini," katanya.

Ahmad Mad Shuhud, 63, dari Kampung Jawa Air Kuning pula sanggup menunggu sejak jam 8 pagi bersama anak untuk tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan keperluan yang diinginkan.

Menurutnya, dengan membayar RM15, dia boleh mendapatkan bekalan telur dan ayam serta bawang.

"Program sebeginilah yang dimahukan rakyat, semua dapat ambil manfaat. Saya harap selepas ini dapat diadakan lebih kerap," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Jualan Sejahtera Rakyat yang diadakan di seluruh negeri terutama kawasan luar bandar telah memberi manfaat kepada 21,953 penerima dengan melibatkan nilai subsidi RM1.01 juta.

Di bawah Jualan Sejahtera Rakyat, orang ramai boleh mendapatkan barangan keperluan termasuk beras, minyak masak, gula, tepung, pelbagai hasil laut dan sayuran yang dijual pada diskaun sehingga 20 peratus daripada harga pasaran.

Inisiatif digerakkan menerusi Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) itu juga merupakan sebahagian daripada komitmen untuk menyokong usaha kerajaan negeri di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!