Emery cabar Villa layak semula ke UCL

UNAI Emery menegaskan misi utama Aston Villa kini adalah untuk memastikan tempat dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL) musim depan, selepas perjuangan mereka berakhir di peringkat suku akhir meskipun mencatat kemenangan 3-2 ke atas Paris Saint-Germain (PSG) di Villa Park, awal pagi Rabu.
Villa tersingkir dengan agregat 5-4, selepas tewas 3-2 berikutan jaringan masa kecederaan Nuno Mendes dalam aksi pertama minggu lalu di Paris.
Walaupun ketinggalan 0-2 dalam aksi timbal balik, skuad kendalian Emery bangkit menundukkan juara Perancis itu dengan semangat luar biasa.
Walau tidak berjaya mara, kempen UCL musim ini tetap membanggakan buat Villa selepas menamatkan fasa liga dalam kelompok lapan teratas, mara ke pusingan 16 terbaik dan menewaskan Club Brugge dengan bergaya sebelum berdepan cabaran sukar menentang PSG.
Kini, Emery mahu fokus beralih sepenuhnya kepada baki enam perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan sasaran utama memastikan slot ke UCL musim hadapan.
“Saya sangat bangga dengan apa yang kami capai setakat ini. Kami sudah menunjukkan kemampuan bersaing di pentas tertinggi dan ini bukti kami berada di landasan tepat.
“Namun cabaran seterusnya lebih besar iaitu kami mesti layak semula ke UCL,” ujar Emery yang menyasarkan kelompok lima teratas EPL.
Mengulas aksi menentang PSG, Emery berkata, sokongan padu daripada penyokong turut memberi semangat kepada pemain untuk terus percaya dan berjuang hingga ke wisel penamat walaupun berdepan cabaran sukar di awal permainan.
Kapten pasukan, John McGinn, yang menjaringkan gol kedua Villa dalam perlawanan tersebut turut menyuarakan komitmen tinggi skuadnya untuk kembali ke pentas UCL musim depan.
“Kami hampir berjaya malam ini, tapi kami akan belajar daripadanya dan bangkit lebih kuat.
“Kami tahu kami berada pada tahap yang betul dan kami akan berikan segala-galanya dalam baki musim ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

