'Karikatur itu cantik juga, saya pun suka' - Anthony Loke

SUBANG JAYA - Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, menyifatkan tindakan Perikatan Nasional (PN) menggunakan karikatur menyindir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dirinya pada hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning sebagai satu bentuk politik tidak matang.
“Saya ucap terima kasih kepada mereka. Karikatur itu cantik juga, saya pun suka design dia,” ujarnya ditemui pada Majlis Penyampaian Tabung Bantuan Mangsa Insiden Letupan Saluran Paip Gas di Putra Heights di Stesen LRT Putra Heights di sini pada Isnin.
Beliau yang juga merupakan Menteri Pengangkutan turut menyindir secara sinis tindakan pihak berkenaan yang dilihat lebih menumpukan serangan berbentuk peribadi berbanding menawarkan penyelesaian kepada rakyat.
“Jadi terima kasih kepada mereka sebab mereka junjung gambar saya walaupun saya tidak hadir pada hari penamaan, seolah-olah mereka menyokong saya,” tambahnya lagi.
Anthony Loke menegaskan bahawa DAP akan terus fokus kepada usaha membantu rakyat dan tidak akan terikut dengan rentak politik murahan.
“Biarlah kita buat kerja kita, mereka buat kerja mereka. Jika itu sahaja yang mereka dapat buat dan tunjukkan kepada rakyat.
"DAP hanya buat kerja untuk rakyat agar bantuan sampai kepada mangsa,” katanya merujuk kepada usaha berterusan membantu mangsa insiden letupan saluran paip gas di Putra Heights baru-baru ini.
Mengenai tabung diilancarkan itu, jelasnya, DAP berjaya mengumpulkan sebanyak RM965,539.44 dalam tempoh seminggu bagi membantu penduduk yang terjejas dalam kejadian tragik itu.
Tabung itu dilancarkan sejurus selepas insiden berlaku dan menerima sumbangan daripada orang ramai, syarikat swasta serta pertubuhan masyarakat sivil yang prihatin terhadap nasib lebih 300 keluarga terlibat.
Menurut Anthony Loke, sumbangan disalurkan kepada lebih 300 keluarga mengikut tahap kerosakan kediaman iaitu RM5,000 diberikan kepada mereka yang rumahnya musnah sepenuhnya manakala RM2,000 disalurkan kepada pemilik rumah yang mengalami kerosakan sekitar 50 peratus.
“Sumbangan ini diharap dapat menyelesaikan sedikit sebanyak masalah yang timbul daripada insiden ini. Ia juga mencerminkan semangat solidariti dan keprihatinan rakyat terhadap mangsa musibah,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!