Puad sokong Nazri, tempelak Tengku Maimun

SHAH ALAM - Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyokong kenyataan Bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS), Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz yang mengkritik Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat berhubung kelemahan dalam proses pelantikan hakim.
Menurut Mohd Puad, Tengku Maimun tidak seharusnya menggesa agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak terlibat dalam pelantikan Ketua Hakim Negara.
"Ini kerana menurut (Mohamed) Nazri, Maimun dilantik guna sistem yang sama.
"Cuma yang saya tidak setuju dengan Nazri bila dia kata Tengku Maimun menerima jawatannya itu 'tanpa sebarang isu',"katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Isnin.
Terdahulu, Tengku Maimun dalam ucaptamanya pada Persidangan Undang-Undang Komanwel ke-24 di Malta baru-baru ini dilapor menggesa agar Perdana Menteri tidak lagi berperanan dalam pelantikan kehakiman.
Katanya, langkah itu bertujuan mengukuhkan kesaksamaan proses dan memastikan pelantikan adalah berdasarkan merit serta bebas daripada pengaruh politik.
Susulan itu, Mohamed Nazri membuat kenyataan balas dengan menyatakan bahawa Tengku Maimun sendiri merupakan hasil daripada sistem pelantikan sedia ada dan tidak sewajarnya mempertikaikannya.
Dalam pada itu, Mohd Puad turut mempersoalkan kenyataan Mohamed Nazri yang menyifatkan pelantikan Tengku Maimun sebagai bebas isu.
"Siapa kata tanpa isu? Rakyat terkejut kerana Thomas (Bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas) mendedahkan dalam memoirnya bahawa dia dan Tun M (Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad) berbincang mengenai pelantikan Maimun sebagai Ketua Hakim.
"Justeru apa jadi Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) memoir Tommy Thomas? Sudah dua tahun tertangguh. Justice delay?" katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
