Lawatan Presiden China: PM saran rakyat rancang perjalanan

Anwar. Foto Bernama
Anwar. Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyarankan orang ramai agar merancang perjalanan mereka lebih awal susulan penutupan 17 laluan di Lembah Klang sempena Lawatan Negara oleh Presiden China, Xi Jinping, ke Malaysia.

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, pengguna jalan raya juga dinasihatkan agar menggunakan laluan alternatif bagi mengurangkan kesulitan dan memastikan urusan berjalan lancar.

“Perdana Menteri mengambil maklum berhubung kesulitan yang timbul susulan penutupan beberapa laluan utama Sabtu lalu bagi memberi laluan kepada sesi raptai sempena Lawatan Negara Presiden Xi.

“Perdana Menteri juga meminta pengendali perkhidmatan pengangkutan awam untuk memastikan ketersediaan aset-aset bagi memastikan keselesaan pengguna sepanjang lawatan negara ini,” katanya.

Nashrul berkata demikian menerusi Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung di Facebook Anwar Ibrahim dan Facebook PMO Malaysia, pada Isnin.

Tangkap layar Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung di Facebook Anwar Ibrahim dan Facebook PMO Malaysia, pada Isnin.
Tangkap layar Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung di Facebook Anwar Ibrahim dan Facebook PMO Malaysia, pada Isnin.

Media pada Sabtu melaporkan sebanyak 17 laluan utama di Lembah Klang dan Putrajaya akan ditutup atau dilencongkan sementara dari Selasa hingga Khamis susulan lawatan rasmi Presiden Xi ke Malaysia.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dilaporkan berkata, penutupan jalan secara penuh dan lencongan akan dilakukan selama 30 hingga 45 minit bagi memberi laluan kepada pergerakan delegasi negara tersebut.

Artikel Berkaitan:

Ujar Nashrul, lawatan negara Presiden Xi yang bermula pada Selasa hingga Khamis itu merupakan kesinambungan hubungan diplomatik Malaysia-China yang telah terjalin sejak lebih 50 tahun lalu.

Menurutnya, ia juga merupakan lawatan kali kedua beliau selepas pertama kali berkunjung ke Malaysia pada 2013.

“Presiden Xi dijadualkan menerima istiadat Sambutan Negara di Istana Negara dan menghadiri majlis santapan negara bersama Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada pagi Rabu.

“Pada sebelah petang, pertemuan Xi dengan Perdana Menteri di Kompleks Seri Perdana bagi membincangkan kerjasama dua hala, isu serantau dan menyaksikan pertukaran beberapa memorandum persefahaman, perjanjian serta nota diplomatik,” ujarnya.

Kata Nashrul, Anwar turut menegaskan bahawa meskipun lawatan berkenaan berlangsung dalam suasana serantau yang mencabar, ia telah dirancang lebih awal sebagai usaha berterusan untuk memperkukuh hubungan dua hala.

“Perdana Menteri menegaskan bahawa Malaysia adalah sebuah negara perdagangan yang mengamalkan keterbukaan dan hubungan seimbang dengan semua rakan antarabangsa.

“Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia juga memikul tanggungjawab penting untuk terus mendukung keterangkuman dan keamanan serantau,” menurutnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!