Nur Hazirah mahu cabaran lebih besar

PEMAIN boling negara, Nur Hazirah Ramli memasang impian untuk berada dalam kelompok enam terbaik skuad negara, sekali gus berpeluang untuk ke Sukan SEA Thailand dan Kejohanan Dunia di Hong Kong akhir tahun ini.
Bagi mengapai harapan tersebut atlet yang berasal dari Sarawak itu perlu berusaha lebih gigih untuk mengekalkan prestasi dan konsisten dalam setiap kejohanan.
“Saya perlu bekerja keras untuk melayakkan diri ke Sukan SEA dan Kejohanan Dunia, dan untuk itu, saya perlu kekal dalam kalangan enam pemain terbaik dalam pasukan kebangsaan.
“Persaingan dengan pemain senior adalah mencabar, namun saya sudah biasa berlatih dan bermain bersama mereka sejak menyertai pasukan tahun lalu,” katanya.
Musim lalu, Nur Hazirah memperagakan prestasi cemerlang dalam kerjayanya apabila meraih empat pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak.
Beraksi di laman sendiri menyuntik semangat atlet berusia 22 tahun itu untuk meraih emas dalam acara individu, beregu wanita, beregu campuran dan trio.
Selain dua kejohanan tersebut, Nur Hazirah turut mengintai peluang untuk menyertai Siri Jelajah Boling Profesional Wanita (PWBA) di Amerika Syarikat (AS), namun masih menunggu maklum balas daripada penaja.
Sekiranya mendapat 'lampu hijau' penaja, atlet berasal dari Kuching itu bakal membuat debut dalam kejohanan tersebut yang dijadual membuka tirai siri pertama di Terbuka Go Bowling Topeka di Kansas bulan depan.
“Saya masih belum pasti menyertai Jelajah PWBA kerana masih menunggu pengesahan penajaan. Saya perlu pastikan perkara ini terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.
“Andai diberi peluang, saya mahu beri yang terbaik. Ini kali pertama saya menyertai jelajah ini, jadi saya enggan meletakkan harapan terlalu tinggi.
“Rakan-rakan senior saya juga akan bertanding dan tahap persaingan cukup sengit, apatah lagi daripada pemain boling antarabangsa,” ujar Nur Hazirah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!