PRK Ayer Kuning: Pengusaha kedai makan untung tiga kali ganda

Pengusaha kedai makan untung tiga kali ganda sempena PRK Ayer Kuning. Gambar kecil: Mohd Asni
Pengusaha kedai makan untung tiga kali ganda sempena PRK Ayer Kuning. Gambar kecil: Mohd Asni
A
A
A

TAPAH - Pengusaha restoran dan penjaja tepi jalan mengakui tidak menang tangan melayani pelanggan dek keramaian pada hari penamaan calon sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada Sabtu.

Peniaga, Mohd Asni Salleh, 58, berkata, segala jenis juadah disediakan di restoran miliknya laku bak pisang goreng panas dan pihaknya untung tiga kali ganda berbanding hari biasa.

Menurutnya, ini kerana kedainya betul-betul berhadapan bangunan UMNO Tapah dan laluan utama jentera parti mengadakan perarakan.

“Penyokong parti semuanya masuk ke kedai saya sehinggakan mereka tiada tempat untuk duduk dan makan daripada pagi sampai tamat penamaan calon.

“Jadi, kami pun tak menang tangan layan pelanggan dan Alhamdulillah dapatlah rezeki lebih.

“Walaupun jalan ditutup sehala, tetapi respon amat baik. Untuk dua minggu ini saya harap lebih ramai lagi penyokong atau orang luar datang ke Tapah serta menyokong ekonomi setempat kami,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Perkara itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Ahmad Redhauddin Ahmad Shokori di Dewan Merdeka Tapah pada Sabtu.

Menurutnya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima kertas pencalonan daripada tiga individu bagi pemilihan di kerusi N48 tersebut sebaik tempoh berakhir jam 10 pagi.

Artikel Berkaitan:

BN selaku parti penyandang mempertaruhkan Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, Dr Mohamad Yusri Bakir.

Bekas guru dan Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh berusia 54 tahun itu dicabar Yang Dipertua Pas Kawasan Tapah, Abd Muhaimin Malek, 44, mewakili PN dan Timbalan Setiausaha Agung PSM, Bawani KS, 39.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!