Kebakaran saluran gas: Polis bantu kelancaran Ops Mega Pembersihan pasca insiden

SUBANG JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan untuk terus memainkan peranan aktif membantu kelancaran Ops Mega Pembersihan susulan insiden letupan dan kebakaran saluran gas di Putra Heights, 1 April lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, operasi pembersihan secara besar-besaran itu merupakan kerjasama rentas agensi yang penting dalam memastikan kawasan terjejas kembali pulih dan selamat untuk didiami penduduk.
Menurut beliau, pihaknya memberi sokongan penuh terhadap segala bentuk usaha dan tindakan proaktif pihak berkuasa tempatan, khususnya Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dalam melaksanakan operasi tersebut.

"PDRM bersama agensi keselamatan lain sentiasa bersiap siaga memastikan aspek keselamatan terkawal dan operasi pembersihan berjalan lancar tanpa sebarang gangguan,” katanya menerusi satu kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata demikian susulan pelancaran rasmi Ops Mega Pembersihan Pasca Letupan Paip Gas Putra Heights yang disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari di Arena Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), semalam.
Tambah Hussein, penglibatan seramai 2,095 petugas termasuk sukarelawan, agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan membuktikan komitmen tinggi semua pihak dalam menjayakan misi bantuan pasca bencana.
"PDRM turut menempatkan pegawai dan anggota di beberapa lokasi strategik untuk membantu mengawal lalu lintas serta memberikan bantuan logistik kepada petugas pembersihan," ujarnya.

Operasi selama dua hari itu turut menyaksikan penyertaan 97 warga kerja Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bersama 16 jentera dan 14 kenderaan pelbagai guna.
Antara aset logistik yang digunakan termasuk 264 unit kenderaan dan jentera seperti lori water jetter, lori roll-on roll rff (RORO), jengkaut, road sweeper, wood chipper, skylift dan kenderaan pacuan empat roda.
Pembersihan meliputi tujuh skop utama iaitu longkang, jalan, lorong belakang, kawasan parkir, tembok rumah, pemotongan pokok terbakar serta bantuan mengangkat barangan rosak.
Kerja-kerja dilakukan hanya di kawasan yang telah disahkan selamat oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Jabatan Kerja Raya (JKR).

Lokasi operasi dibahagikan kepada empat sektor iaitu A, B, C dan D, meliputi kawasan Kampung Kuala Sungai Baru dan Putra Heights yang paling terjejas akibat letupan tersebut.
Turut hadir dalam program itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin; Datuk Bandar MBSJ, Datuk Amirul Azizan Abd Rahim, serta Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat.
Datuk Hussein menegaskan, pihaknya akan terus memberikan kerjasama erat dengan semua agensi berkaitan dalam memastikan proses pemulihan dapat disegerakan demi kesejahteraan penduduk.
"Tanggungjawab kita bukan sekadar menjaga keselamatan tetapi turut membantu meringankan beban masyarakat yang terkesan.
"Itulah peranan polis yang sebenar, sentiasa bersama rakyat dalam susah dan senang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

