Villa barakan pemburuan kelompok lima terbaik EPL

TAKTIK pengendali Aston Villa, Unai Emery membuahkan hasil apabila pemain gantian The Villa pada babak kedua menyalakan kemenangan selesa 3-0 ke atas Southampton yang sudah pun tersingkir dari Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium St Mary's.
Ollie Watkins, Donyell Malen, dan John McGinn masing-masing mencatatkan nama sebagai penjaring, melonjakkan Villa ke tangga kelima liga sekali gus menambah duka buat The Saints.
Menjelang aksi timbal balik suku akhir Liga Juara-Juara menentang Paris Saint-Germain (PSG) pada Rabu, dengan Villa ketinggalan 1-3, Emery memilih untuk melakukan beberapa perubahan dalam kesebelasan utama.
Namun, apabila perlawanan kekal tanpa jaringan menuju penghujung separuh masa kedua, pertukaran yang dilakukan Emery ternyata memberikan impak positif.
Watkins, yang dimasukkan pada pertengahan separuh masa kedua, memecah kebuntuan pada minit ke-73 dengan naluri pemangsa yang tajam.
Beliau bijak menyambut hantaran jauh yang tepat dari Youri Tielemans kemudian menolak masuk bola menerusi bahagian bawah palang gol, menyalakan kegembiraan dalam kalangan penyokong Villa yang mengikuti rombongan ke Southampton.
"Saya rasa itu adalah gol yang sangat penting sebagai permulaan.
"Kadang-kadang anda memerlukan sedikit tuah dan sedikit magis. Gembira melihat bola itu masuk dan sejujurnya, itu adalah salah satu gol kegemaran saya," akui Watkins.
Enam minit kemudian, seorang lagi pemain gantian, Donyell Malen, menggandakan kelebihan Villa hasil rembatan kencang, sekali gus mengesahkan tiga mata berharga buat anak buah Emery.
Gol di penghujung perlawanan menyerlahkan kualiti Villa yang lebih tinggi mengatasi semangat juang Southampton yang semakin luntur.
Situasi itu menyaksikan kapten Saints, Jack Stephens menjatuhkan McGinn pada masa kecederaan, memberikan peluang kepada pemain Villa, Marco Asensio untuk menebus kesilapan.
Bagaimanapun, penjaga gol Villa, Aaron Ramsdale, yang sebelum itu menyelamatkan sepakan penalti Asensio pada minit ke-69, sekali lagi berjaya menepis percubaan susulan.
Namun, McGinn pantas menyambar bola muntah untuk melengkapkan kemenangan 3-0 buat Villa sekali gus motivasi menjelang kunjungan PSG di Villa Park.
Kekalahan ini merupakan yang ke-13 di laman sendiri buat Southampton musim ini, satu rekod kelab yang baharu, dan hadir dalam perlawanan pertama mereka sejak pemecatan pengurus Ivan Juric.
Southampton kekal di dasar liga dengan hanya 10 mata, berbaki tujuh perlawanan, masih memerlukan dua mata lagi untuk mengelakkan daripada menyamai rekod terendah Derby County iaitu 11 mata dalam musim Liga Perdana Inggeris 2007/08.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
