Bersatu Kelantan sokong rombakan kepimpinan PN demi kelestarian gabungan

Kamarudin
Kamarudin
A
A
A

KOTA BHARU – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan berpandangan bahawa tidak ada salahnya struktur kepimpinan Perikatan Nasional (PN) dirombak sebagaimana dinyatakan oleh Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Pengerusinya, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, langkah tersebut dilihat mampu menambah kekuatan serta menjamin kelestarian parti-parti komponen dalam PN bagi menghadapi cabaran politik negara pada masa hadapan.

"Menjadi sesuatu yang biasa buat mana-mana organisasi, sama ada politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau syarikat perniagaan untuk melakukan rombakan dalam pasukan pengurusan masing-masing.

"Hatta dalam barisan kepimpinan negara dan negeri, proses penyusunan semula pentadbiran boleh dilakukan mengikut keperluan semasa," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Menurut beliau, sekiranya pucuk pimpinan tertinggi PN mahu mengkaji cadangan penyusunan semula, ia seharusnya dibuat demi kebaikan keseluruhan parti komponen.

Tambahnya lagi, Bersatu Kelantan menyokong penuh usaha tersebut.

Media sebelum ini melaporkan bahawa PN dijangka melaksanakan rombakan struktur kepimpinannya selepas gabungan itu bersetuju menubuhkan jawatankuasa khas bagi menilai penambahbaikan organisasi.

Tuan Ibrahim berkata, langkah menambah baik struktur parti tersebut bakal dilaksanakan secara menyeluruh.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!