Struktur PN negeri bakal berubah ikut pemilihan Bersatu – Razman

BAGAN SERAI – Perubahan struktur Perikatan Nasional (PN) yang akan dilaksanakan berkemungkinan disebabkan keputusan Pemilihan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang berlangsung baru-baru ini.
Timbalan Pengerusi PN Perak, Razman Zakaria berkata, sebarang perubahan di peringkat pusat akan mempengaruhi kepimpinan di negeri-negeri.
Menurutnya, struktur kepimpinan PN negeri lazimnya ditentukan oleh pucuk pimpinan pusat dan akan berubah selaras dengan perkembangan dalam parti-parti komponen gabungan tersebut.
“Struktur di negeri Perak diketuai oleh Bersatu dan seperti biasa, jawatan timbalan diberikan kepada wakil daripada parti komponen lain seperti Pas dan Gerakan (Parti Gerakan Rakyat Malaysia).
"Ini struktur tetap yang digariskan oleh pusat dan dipraktikkan di semua negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol di sini, pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Razman memaklumkan hanya Bersatu yang mengalami perubahan kepimpinan susulan pemilihan parti itu, manakala Pas, Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) masih mengekalkan struktur sedia ada.
“Pelantikan Pengerusi PN negeri lazimnya disandang oleh ketua parti yang telah ditentukan bagi negeri-negeri.
"Selepas itu, beliau akan melantik setiausaha dan membentuk jawatankuasa negeri mengikut amalan biasa dalam gabungan,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan PN akan melaksanakan rombakan menyeluruh struktur organisasi gabungan itu termasuk menubuhkan Majlis Presiden dan meminda perlembagaan bagi memperkukuh tadbir urus serta kerjasama antara parti komponen.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, penambahbaikan struktur organisasi itu dijangka dilaksanakan selepas jawatankuasa khas PN selesai membuat penilaian menyeluruh.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

