ATM, PDRM kerjasama kesan anggota terlibat dadah

Affendi (kiri) bersama Abdul Hamid ketika sidang media di Bukit Aman hari ini.
Affendi (kiri) bersama Abdul Hamid ketika sidang media di Bukit Aman hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk melaksanakan pemeriksaan mengejut ke atas anggota ATM yang disyaki penagih dadah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, perbincangan bersama Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang sudah dilakukan dan tindakan perlu bagi membersihkan dua agensi itu daripada gejala penyalahgunaan dadah.

"Kita mahu menjadikan PDRM dan ATM bersih dadah supaya dapat melaksanakan tanggungjawab sebaiknya,” katanya pada sidang media sempena Kunjungan Hormat Panglima ATM ke Bukit Aman hari ini.

Sementara itu, Affendi berkata, pengawasan dan menghapuskan gejala dadah dilakukan berterusan termasuk ujian saringan pemantauan kepada anggota.

"Hukuman berat juga dilaksanakan kepada anggota yang didapati menyalahgunakan dadah,” katanya.

Dalam perkembangan sama, ATM dan PDRM juga bersetuju menubuhkan jawatankuasa kerja untuk mengkaji dan mencadangkan pemakaian uniform bercorak celoreng dan lencana.

Affendi berkata, pihaknya telah menyuarakan isu berhubung beberapa agensi lain yang mempunyai uniform bercorak celoreng yang sama.

“Kita tidak mahu menganggap uniform itu sebagai satu yang eksklusif untuk PDRM dan ATM tetapi pakaian dan lencana pegawai perlu supaya tidak menimbulkan salah faham berkaitan pemakaian itu,” katanya.

Artikel Berkaitan: