Anak staf tahfiz mengaku amang seksual pelajar

AMPANG – Anak kakitangan pusat pengajian tahfiz yang juga lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat, atas satu pertuduhan melakukan amang seksual terhadap pelajar lelaki berusia 13 tahun, tahun lalu.
Pesalah muda itu membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Normaizan Rahim.
Bagaimanapun mahkamah menetapkan 18 Jun depan untuk laporan akhlak serta bagi fakta kes sebelum menjatuhkan hukuman.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang ketika kejadian berusia 17 tahun, didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja lelaki ketika kejadian berusia 13 tahun di asrama sebuah pusat pengajian swasta pada jam 2.30 petang, pertengahan April 2024.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, S Kirthana mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM8,000.
Bagaimanapun, peguam, A Rahman Mohd Nasir merayu kadar itu dikurangkan kerana pesalah juvana ini belum bekerja.
“Dia sepatutnya melanjutkan pelajaran di sebuah pusat tahfiz namun terpaksa dibatalkan selepas direman polis,” katanya.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin.
Sebelum ini, media melaporkan, seorang pelajar pusat tahfiz mengalami trauma selepas mendakwa menjadi mangsa liwat anak kepada kakitangan pusat pengajian itu di Ampang Jaya, di sini.
Kejadian itu terbongkar apabila rakan mangsa yang mengetahui insiden berkenaan, menceritakan kepada ibunya sebelum wanita terbabit memaklumkan kepada bapa pelajar tahfiz terbabit.
Menurut Ketua Penolong Pengarah Bahagian Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan, polis menerima laporan daripada lelaki berusia 39 tahun pada Ahad lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

