Peniaga burger dijel tujuh bulan culik gadis OKU

MELAKA – Seorang peniaga burger dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret Melaka pada Jumaat selepas mengaku bersalah menculik seorang gadis orang kurang upaya (OKU) di sebuah taman permainan minggu lalu.
Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Mohd Sukri Daud, 40, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan.
Mengikut pertuduhan, Mohd Sukri didakwa melarikan seorang gadis berusia 18 tahun dengan niat untuk mengurung secara sulit dan salah, kira-kira jam 3 petang pada 5 April lalu di taman permainan Taman RI 1, Bukit Rambai Idaman, dalam daerah Melaka Tengah.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Peguam tertuduh, S Amritpal Singh merayu hukuman ringan atas alasan anak guamnya hanya seorang peniaga kecil dan perlu menyara tiga anak yang masih kecil selain telah insaf atas kesalahan dilakukan.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajuib memohon hukuman setimpal dikenakan memandangkan kesalahan tersebut serius dan melibatkan mangsa yang merupakan individu OKU.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

