Halal antara fokus Safma tembusi pasaran eksport baharu

SABAH Fish Marketing Sdn Bhd (Safma) sedang giat melaksanakan inisiatif meneroka pasaran eksport baharu ke luar negara termasuk Jepun, China dan Timur Tengah.
Pengerusi Safma, Datuk Mohammad Mohamarin berkata, fokus utama inisiatif itu termasuk meningkatkan kapasiti pemprosesan dan pembungkusan mengikut standard eksport, pensijilan halal dan keselamatan makanan.
Beliau berkata, Safma juga mengutamakan penubuhan hab eksport di beberapa lokasi di Sabah yang akan memberi manfaat secara langsung kepada para nelayan serta usahawan industri kecil dan sederhana dalam sektor perikanan tempatan.
“Langkah itu sejajar dengan hasrat Kerajaan Sabah untuk memacu pertumbuhan ekonomi berasaskan sumber semula jadi negeri, khususnya sektor perikanan yang mempunyai potensi besar di pasaran global,” katanya.
Mohammad berkata, Safma juga sedang giat menjalin kerjasama strategik dengan agensi promosi perdagangan, syarikat logistik dan pemain industri eksport makanan laut bagi memastikan piawaian produk menepati keperluan pasaran antarabangsa.
“Apabila nilai tambah meningkat melalui eksport, pendapatan para nelayan dan pemain industri tempatan juga akan meningkat. Ini satu langkah penting ke arah mewujudkan ekosistem perikanan yang mampan dan berdaya saing,” katanya.
Mohammad turut optimis inisiatif itu akan memperkukuh kedudukan Sabah sebagai hab makanan laut, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri secara keseluruhan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
