Sinergi Harimau Malaya tak terjejas

PELETAKAN jawatan penolong pengendali skuad bola sepak negara, Mark Milligan, tidak akan menjejaskan persediaan Harimau Malaya menjelang aksi berdepan pendahulu Kumpulan F, Vietnam dalam perlawanan kedua Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 pada Jun depan.
Menurut penganalisis sukan tanah air, Datuk Dr Pekan Ramli, tanpa Milligan skuad negara masih mampu mengekalkan momentum kemenangan selepas menundukkan Nepal 2-0 pada 25 Mac lalu.
Sebelum ini, berita pengunduran Milligan memberi tamparan kepada harapan peminat untuk menyaksikan Harimau Malaya beraksi di pusingan akhir Piala Asia buat kali kedua berturut-turut.

“Tempoh beliau bersama pemain Harimau Malaya cuma beberapa minggu sahaja, jadi ketiadaannya tidak akan terasa sangat.
“Ini tidak akan merosakkan perancangan Peter Cklamovski (ketua jurulatih) untuk berdepan Vietnam,” ujar Pekan kepada Sukan Sinar.
Pekan yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), menambah bahawa sinergi dalam pasukan yang dibentuk oleh Cklamovski bersama barisan jurulatih serta pemain tidak akan terkesan walaupun tanpa Milligan.
“Kunci kepada segala aspek taktikal dan psikologi terletak pada Cklamovski, bukan Milligan.
“Kita tidak melihat impak besar dalam tempoh dua bulan bersama Milligan, malah cara kita bermain dalam kemenangan ke atas Nepal pun masih biasa-biasa sahaja,” jelasnya lagi.
Pekan turut menegaskan bahawa ketiadaan Milligan tidak perlu dijadikan alasan untuk menjejaskan persiapan Harimau Malaya dalam menghadapi Vietnam kerana penolong jurulatih tempatan yang ada kini mampu membantu Cklamovski.
Dalam pada itu, Pekan berharap skuad negara yang kini berada di kedudukan ranking 131 dunia akan menggunakan tempoh yang ada untuk mengadakan perlawanan pemanas badan berkualiti.
“Skuad kebangsaan perlu berdepan pasukan dari kelompok 100 hingga 110 dunia untuk menguji kemampuan sebenar mereka, apatah lagi ada khabar angin mengenai pemain warisan yang bakal ditambah ke dalam skuad,” katanya.
Pekan turut mencadangkan agar sekurang-kurangnya dua perlawanan kompetitif diadakan sebagai persediaan penting menjelang pertembungan dengan Vietnam nanti.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
