Potong barisan punca dua lelaki bergaduh di laluan bas ke Singapura

JOHOR BAHRU – Potong barisan ketika beratur menjadi menjadi punca pergaduhan antara dua lelaki di laluan bas ke Singapura di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini pada Khamis sehingga kejadian tersebut tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan menerima video kejadian berkenaan yang tular sekitar jam 3 petang.
"Video berkenaan memaparkan pergaduhan melibatkan dua individu. Pihak polis mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut yang dibuat seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun.
"Kejadian berlaku di laluan bas masuk ke Singapura di BSI pada jam 7 pagi. Punca pergaduhan disebabkan salah seorang individu tersebut telah memotong barisan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sebelum ini, tular video memaparkan dua lelaki bergaduh yang mana masing-masing saling tolak-menolak dan memukul antara satu sama lain selain bertengkar.
Bagaimanapun, situasi tegang itu berjaya dikawal oleh beberapa individu yang berada di lokasi kejadian.
Raub berkata, kes disiasat bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan iaitu melakukan gaduh gempar dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya," katanya.
Justeru beliau menasihatkan orang ramai untuk tidak menyebarkan video berkenaan di media sosial bagi mengelak sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.
"Polis juga meminta sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor S Sivakumaran menerusi talian 019-5127410.
"Pihak Polis Johor Bahru Selatan memberi jaminan bahawa keselamatan awam akan sentiasa menjadi keutamaan dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan selepas siasatan selesai," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

