Pesta Cahaya rancakkan TMK 2025

ALOR SETAR – Kilauan cahaya daripada 1.6 juta mentol lampu diod pemancar cahaya (LED) pelbagai warna menyinari Taman Jubli Emas di sini, sempena penganjuran Pesta Cahaya Luna Lights Wonderland yang berlangsung selama sebulan.
Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan negeri, Datuk Mohd Salleh Saidin berkata, pesta cahaya terbabit yang menampilkan tujuh tema utama, mula dibuka kepada orang ramai mulai 4 April hingga 4 Mei depan.
“Pesta ini berlangsung dari jam 7 malam hingga 12 tengah malam dan bukan sahaja menambahkan keceriaan sempena sambutan Aidilfitri, malah ia juga menjadi salah satu tarikan utama dalam menjayakan kempen Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Pesta Cahaya Luna Lights Wonderland pada Rabu malam.

Menurutnya, pesta ini bukan sekadar hiburan visual semata-mata, malah berpotensi merancakkan industri pelancongan negeri.
“Kami menjemput bukan sahaja warga Kedah, malah pelancong dari negeri-negeri jiran seperti Perlis, Pulau Pinang dan Perak untuk datang dan menikmati suasana penuh magis yang ditawarkan di sini,” ujarnya.

Mohd Salleh dalam masa yang sama turut mengingatkan pengunjung bersama-sama menjaga kemudahan dan keindahan pesta tersebut.
“Jangan rosakkan lampu LED di situ kerana ia boleh mencacatkan pemandangan. Selain itu, marilah kita sama-sama memelihara kebersihan kawasan di sini.
“Kami mahu jadikan Kedah antara negeri paling bersih di Malaysia dan usaha ini memerlukan kerjasama semua pihak,” tegasnya.
Sementara itu, Pengurus Perniagaan dan Pembangunan Red Bear Event, Nabilah Afifah Mohd Fekeri berkata, edisi kali ini jauh lebih besar berbanding penganjuran tahun lalu di Jitra, dengan penambahan jumlah lampu LED dan tema yang lebih menarik.
“Pihak kami menyasarkan kehadiran antara 80,000 hingga 100,000 pengunjung sepanjang tempoh sebulan pesta berlangsung. Tiket masuk dijual pada harga RM12 untuk dewasa, RM6 untuk kanak-kanak manakala pengunjung orang kurang upaya (OKU) diberikan kemasukan percuma,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
