Warga Jerman maut akibat serangan jantung ketika menunggang basikal

SUNGAI SIPUT - Seorang lelaki warganegara Jerman ditemui meninggal dunia selepas basikal ditunggangnya hilang kawalan dan terbabas masuk ke dalam semak di Jalan Perlop 1 di sini pada Rabu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Deputi Superintenden Mohd Rohaizimi Razali berkata, maklumat kejadian diterima pada jam 10.46 pagi melibatkan mangsa berusia 67 tahun itu.
"Siasatan awal mendapati mangsa menunggang basikal sendirian dari kediamannya di Ipoh ke Sungai siput sebelum masuk ke Perlop 1.
"Sampai di tempat kejadian, basikal ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan berikutan keadaan jalan lurus yang sedikit menuruni bukit sebelum terbabas," katanya di sini.

Menurut beliau, pemeriksaan awal mendapati tiada kerosakan pada basikal mangsa kecuali kesan calar selain barangan peribadi termasuk wang dan telefon bimbit masih berada di tempat kejadian.
Mohd Rohaizimi berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Siput dan hasil bedah siasat mendapati punca kematian lelaki terbabit akibat serangan jantung.
"Tiada unsur jenayah dikaitkan dalam penemuan mayat mangsa setakat ini dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
"Sebelum ini mangsa dikatakan sering dilihat menunggang basikal di kawasan berkenaan sama ada bersendirian mahupun berkumpulan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
