Kabel dicuri punca perkhidmatan tren ERL terganggu

PUTRAJAYA - Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) mengesahkan gangguan perkhidmatan tren KLIA Ekspres dan KLIA Transit berpunca daripada perbuatan vandalisme melibatkan kecurian kabel serta gangguan sistem isyarat sejak Selasa.
ERL menerusi kenyataan pada Rabu memaklumkan, kejadian pertama berlaku pada jam 6.20 pagi di KM48.5 antara Stesen Salak Tinggi dan KLIA Terminal 1, diikuti siri gangguan lain yang menyebabkan perjalanan tren tergendala dan penumpang terjejas.
"Perkhidmatan gabungan KLIA Ekspres dan KLIA Transit telah diaktifkan pada jam 6.58 pagi dari KLIA Terminal 2 dan 7 pagi dari KL Sentral," menurut kenyataan itu.
Ujar ERL, tren ulang-alik turut disediakan dari Stesen Salak Tinggi ke KL Sentral pada jam 7.40 pagi bagi menangani waktu puncak.
"Perkhidmatan kembali pulih pada jam 10 pagi dari KL Sentral dan 9.48 pagi dari KLIA T2," menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun, kejadian kedua melibatkan kecurian kabel di KM43.1 pada jam 5.52 petang antara Putrajaya - Cyberjaya dan Salak Tinggi menyebabkan kelewatan tren antara tujuh hingga 10 minit.
Seterusnya, gangguan sistem isyarat di Stesen Bandar Tasik Selatan pula menyebabkan semua tren dihentikan sepenuhnya pada jam 9.57 malam.
"Perkhidmatan tren ulang-alik antara Putrajaya dan Cyberjaya ke KLIA T2 bermula jam 10.20 malam dengan kekerapan setiap 20 minit.
"Penumpang ke KL Sentral dari Putrajaya & Cyberjaya dinasihatkan menggunakan pengangkutan alternatif," jelas ERL.
Pada Rabu, dua lagi insiden kecurian kabel berlaku masing-masing di KM47.2 pada jam 4.47 pagi dan KM40.6 sekitar jam 5.20 pagi, melibatkan laluan antara Stesen Salak Tinggi dengan KLIA T1 dan Putrajaya dan Cyberjaya.
Susulan itu, perkhidmatan tren ulang-alik dimulakan pada jam 6 pagi antara Salak Tinggi–KLIA dengan kekerapan setiap 20 minit.
"Pasukan kami sedang bekerja tanpa henti untuk memulihkan perkhidmatan sepenuhnya.
"Kami amat memahami kesan gangguan ini terhadap penumpang dan memohon maaf atas segala kesulitan atau kelewatan yang berlaku," menurut ERL.
Justeru, penumpang dinasihatkan untuk merancang perjalanan mereka dengan sewajarnya dan mengikuti saluran media sosial kami untuk maklumat terkini mengenai perkhidmatan tren.
Penumpang yang terjejas akibat insiden ini boleh memohon bayaran balik dengan menghantar e-mel ke CustomerEnquiry@KLIAekspres.com.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

