Kereta terbakar, remaja melecur 70 peratus

Keadaan kereta yang dipandu remaja berkenaan. Foto BBP JOHOR JAYA
Keadaan kereta yang dipandu remaja berkenaan. Foto BBP JOHOR JAYA
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang remaja lelaki cedera parah apabila dianggarkan 70 peratus badannya melecur dalam kejadian di Lebuhraya Pasir Gudang, berhampiran Petron Plentong, pada malam Isnin.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya, Penguasa Bomba Kanan 1 Khas Untuk Penyandang (KUP), Rafie Ahmad Sareng berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung perkara tersebut pada jam 9.15 malam.

Menurutnya, sebaik menerima panggilan berkenaan, satu Pasukan Keluaran Operasi (PKO) melibatkan satu jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu unit jentera Perkhidmatan, Penyelamatan, Perawatan, Kecemasan (EMRS) dengan 10 anggota dihantar ke lokasi.

“Setibanya PKO ke lokasi pada jam 9.24 malam, didapati berlaku kebakaran sebuah kereta jenis Honda City yang telah terbakar sebanyak 20 peratus.

“Terdapat seorang mangsa yang melecur hampir keseluruhan badan akibat kejadian kebakaran tersebut. Bagaimanapun, mangsa didapati tidak tersepit.

“PKO bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan pengusung dan mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak perubatan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Operasi ditamatkan pada jam 9.59 malam.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!