Trump umum cukai tambahan 50 peratus ke atas China

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengumumkan pengenaan tarif tambahan sebanyak 50 peratus ke atas barangan dari China, susulan tindakan balas Beijing yang mengenakan cukai 34 peratus terhadap produk Amerika Syarikat.
Langkah drastik ini menjadikan jumlah keseluruhan tarif Amerika Syarikat ke atas barangan China mencecah 84 peratus iaitu tahap tertinggi dalam sejarah.
Ia sekali gus memperhebatkan lagi perang perdagangan antara dua kuasa ekonomi terbesar dunia itu.
Selain itu, tarif global sebanyak 10 peratus yang dikenakan oleh Rumah Putih terhadap semua negara, turut menjadikan jumlah keseluruhan tarif terhadap China meningkat kepada 94 peratus.
Trump memberi tempoh 24 jam kepada Presiden China, Xi Jinping untuk menarik balik cukai balas tersebut, jika tidak cukai tambahan 50 peratus itu akan berkuat kuasa mulai 9 April 2025.
“Semalam, China mengenakan tarif balas sebanyak 34 peratus, di atas tarif tinggi sedia ada, subsidi haram terhadap syarikat-syarikat serta manipulasi mata wang yang berlarutan sejak sekian lama, walaupun saya telah memberi amaran,” katanya.
Beliau turut mengancam akan menamatkan semua rundingan dengan China berhubung permintaan Beijing untuk mengadakan pertemuan.
Sebaliknya, Trump berkata, beliau akan memulakan rundingan dengan negara-negara lain yang tidak bertindak balas terhadap dasar tarif Amerika Syarikat.
“Segala perbincangan dengan China berkaitan permintaan mereka untuk bertemu akan dihentikan. Rundingan dengan negara lain akan segera dimulakan,” katanya.
China sebelum ini memberi amaran bahawa tindakan balas tersebut akan membawa kepada perang perdagangan yang menyakitkan dan tidak menguntungkan mana-mana pihak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

