Bangun tidur terus panjat menara kren selepas terdengar bisikan

PENAMPANG - Seorang buruh binaan memanjat menara kren setinggi kira-kira 126 meter di sebuah kawasan tapak pembinaan bangunan di Luyang, di sini, pada awal pagi Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, lelaki berusia 40-an tersebut mendakwa dia tidak menyedari perbuatannya, namun hanya terdengar bisikan naik ke puncak kren sebaik bangun daripada tidur.
Susulan kejadian itu, orang awam yang ternampak lelaki tersebut bertindak menghubungi pihak bomba untuk mendapatkan bantuan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Zeno Tinggalan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 6.57 pagi.
"Menurut laporan, lelaki terbabit berada di hujung menara kren di kedudukan atas bangunan dan ketika kejadian, lelaki tersebut berjaya turun dengan sendiri dari ketinggian 126 meter dalam keadaan selamat.
"Menurut lelaki tersebut, dia bukan berniat mahu membunuh diri tetapi dalam keadaan tidak sedar seperti ada bisikan selepas bangun waktu Subuh," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Katanya lagi, lelaki tersebut kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
"Operasi turut ditamatkan pada jam 8.02 pagi selepas anggota kita memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
