Presiden Mesir, Perancis bertemu di Kaherah bincang isu Gaza

KAHERAH/ANKARA - Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi bertemu dengan rakan sejawatannya dari Perancis, Emmanuel Macron di Kaherah pada Isnin bagi membincangkan situasi di Semenanjung Gaza, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Kedua-dua pemimpin itu dijangka membincangkan keperluan mendesak untuk melaksanakan gencatan senjata di Semenanjung Gaza serta rancangan negara-negara Arab bagi usaha pembinaan semula wilayah itu.
Sisi dan Macron juga akan menyaksikan penandatanganan perjanjian kesihatan antara Kaherah dan Paris untuk menyediakan rawatan perubatan kepada rakyat Palestin yang cedera dalam serangan ketenteraan Israel ke atas Gaza.
Menurut saluran berita berkaitan kerajaan, Al-Qahera News, kedua-dua pemimpin turut dijadual menyaksikan pemeteraian 10 perjanjian antara kerajaan serta 12 perjanjian ekonomi dalam pelbagai bidang, termasuk kesihatan, pengangkutan, air dan tenaga boleh diperbaharui.
Satu sidang kemuncak tiga pihak bagi membincangkan situasi di Gaza turut dijadual diadakan pada Isnin membabitkan Sisi, Macron dan Raja Jordan Raja Abdullah II.
Sidang kemuncak itu diadakan ketika tentera Israel terus meningkatkan serangan di wilayah Palestin, dengan lebih 1,300 orang terbunuh dan 3,200 lagi cedera akibat serangan udara sejak 18 Mac, walaupun terdapat perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan.
Hampir 50,700 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan Israel ke atas Gaza sejak Oktober 2023, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) pada November lepas mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya Yoav Gallant atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel turut berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) susulan serangannya ke atas wilayah itu. - Bernama/Anadolu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
