Ceroboh laluan paip gas: Buat aduan dahulu, jangan terus tular

Arul Kumar (kiri) melihat penanda kawasan laluan paip gas di sebuah tapak projek di Sendayan.
Arul Kumar (kiri) melihat penanda kawasan laluan paip gas di sebuah tapak projek di Sendayan.
A
A
A

SEREMBAN - Orang ramai dinasihatkan supaya membuat aduan kepada pihak berkuasa berkaitan sebelum menularkan kerja-kerja atau aktiviti berisiko berhampiran saluran paip gas di negeri ini.

Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, J Arul Kumar berkata, tindakan terus menularkan aktiviti tersebut di media sosial tanpa mengetahui status sebenar boleh menimbulkan kebimbangan orang ramai.

"Kalau sesuatu perkara tak betul ditularkan, ia akan beri gambaran kita (kerajaan negeri) tidak ambil tindakan dan beri satu keadaan bahaya serta ketakutan kepada masyarakat.

"Jadi, buat aduan kepada Gas Malaysia Berhad supaya isu itu disiasat dan diambil tindakan, bukannya terus tularkan," katanya kepada pemberita ketika ditemui melawat sebuah tapak projek perumahan di Sendayan yang dikatakan berhampiran dengan laluan paip gas di sini pada Isnin.

Bagaimanapun, Arul Kumar menyambut baik keprihatinan masyarakat terhadap sebarang aktiviti meragukan berhampiran saluran paip gas sekali gus mengelakkan kejadian sama seperti mana yang berlaku di Putra Height, Selangor baru-baru ini.

Arul Kumar
Arul Kumar

Jelasnya, kerajaan negeri juga akan mengambil tindakan proaktif terhadap sebarang aduan diterima sekiranya didapati berlaku pencerobohan di kawasan terbabit.

"Pemaju perlu dapatkan kelulusan pihak berkaitan sebelum melaksanakan kerja-kerja tanah dan perlu mengikut peraturan serta prosedur operasi standard ditetapkan," katanya.

Berkenaan tular lokasi tapak projek perumahan yang dikatakan berhampiran laluan paip gas, beliau berkata, ia bukan berada di laluan tersebut dan kerja-kerja dilakukan masih di dalam kawasan tanah pemaju.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Setiausaha Majlis Bandaraya Seremban, Ir Ts Mohd Kamal Mohd Yusof meminta setiap pemilik saluran paip berhampiran tapak projek supaya membuat penanda yang lebih mudah dilihat.

Jelasnya, ia bagi memastikan kawasan tersebut tidak dilalui oleh jentera yang sedang melakukan kerja-kerja tanah sekali gus mengelakkan sebarang risiko.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!