[VIDEO] Malaysia sedia hantar Hospital Medan ke Myanmar
KOTA TINGGI - Kerajaan Malaysia akan menyelaraskan jenis bantuan kemanusiaan yang bakal disalurkan kepada Myanmar susulan gempa bumi dahsyat yang melanda negara itu pada 28 Mac lalu, termasuk kemungkinan menyediakan Hospital Medan Malaysia.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, permintaan tersebut dikemukakan sendiri oleh pihak Myanmar ketika lawatan rasmi Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan ke negara itu baru-baru ini.
“Kita sebagai Pengerusi ASEAN mengambil peluang dan ruang untuk mengkordinasikan bantuan yang perlu disampaikan.
"Saya difahamkan apabila Menteri Luar mewakili Malaysia ke Myanmar, ada beberapa permohonan yang dikemukakan termasuk cadangan untuk kita menyediakan hospital lapangan.
"Bagaimana perkara itu masih dalam perbincangan dan akan dibawa ke peringkat kerajaan untuk diputuskan," katanya pada sidang akhbar di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri UMNO Bahagian Kota Tinggi di Dewan Jubli Intan Kota Tinggi pada Isnin.

Sabtu lalu, Mohamad Hasan bersama pasukan dari Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan bagi Pengurusan Bencana ASEAN (AHA Centre) menyerahkan bantuan Sistem Logistik Kecemasan Bencana ASEAN (DELSA) kepada Jabatan Pengurusan Bencana Myanmar.
DELSA merupakan inisiatif AHA Centre yang menyediakan sokongan logistik pantas kepada negara anggota ASEAN yang terjejas akibat bencana seperti makanan, ubat-ubatan dan peralatan kecemasan.
Dalam lawatan itu, Mohamad dan Menteri Luar Thailand, Maris Sangiampongsa turut mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Majlis Pentadbiran Negara (SAC), Jeneral Kanan Min Aung Hlaing dan Menteri Luar Myanmar, U Than Shwe di Nay Pyi Taw.
Misi kemanusiaan itu mencerminkan solidariti serantau dan sokongan ASEAN kepada rakyat Myanmar, sebagaimana dipersetujui dalam Mesyuarat Khas Tergempar Menteri-Menteri Luar ASEAN yang dipengerusikan Malaysia secara maya pada 30 Mac lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

