PN umum calon PRK Ayer Kuning esok

Muhammad Sanusi (kanan) memberikan duit raya kepada kanak- kanak yang menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Seri Mentaloon pada Ahad. - Foto UPDA
Muhammad Sanusi (kanan) memberikan duit raya kepada kanak- kanak yang menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Seri Mentaloon pada Ahad. - Foto UPDA
A
A
A

ALOR SETAR - Pas akan mengumumkan calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Perak, pada Selasa.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, mereka telah memuktamadkan calon yang sesuai dan berkaliber untuk bertanding di kerusi berkenaan yang menghadapi persaingan lima penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Calon sudah ada, kalau tidak ada saya pun boleh,” selorohnya ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Seri Mentaloon di sini pada Ahad.

Beliau berkata, kempen untuk calon juga akan diatur dengan lebih agresif termasuk di media sosial selepas penamaan calon pada 12 April nanti.

“Pengumuman calon pada 8 April dan seterusnya penamaan calon pada 12 April lepas itu baru kita akan buat kempen dengan agresif untuk PN, sekarang ini tak boleh nak berkempen lagi sebab calon belum umum,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai trend kempen PN yang lebih banyak di media sosial, Menteri Besar Kedah itu berkata, ia merupakan strategi parti kerana ia lebih berkesan dan mudah diuruskan berbanding kempen konvensional.

“Ia kaedah baharu dalam berkempen, kalau kaedah konvensional seperti ceramah itu agak susah dan lebih rumit. Media sosial lebih senang, lebih ramai capaian dan kita akan guna semaksimum mungkin, musim raya pun boleh kempen,” ujarnya.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini, dengan penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 12 dan 22 April.

PRK DUN terbabit diadakan berikutan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin pada 22 Februari lepas akibat serangan jantung selepas menyertai Kejohanan Bola Sepak Empat Penjuru di Stadium Bandaraya Georgetown, Pulau Pinang.

Artikel Berkaitan:

Pada PRU15, Ishsam yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah menang dengan majoriti 2,213 undi dalam persaingan lima penjuru.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!