Bawani calon PSM PRK DUN Ayer Kuning

KAMPAR - Timbalan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS, sekali lagi dipilih sebagai calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Pengumuman tersebut dibuat oleh Pengerusi PSM, Dr Michael Jeyakumar Devaraj pada sidang akhbar di Bilik Gerakan Utama PSM di Jalan PPAK2, Air Kuning, di sini pada Selasa.
Hadir sama ialah Ketua Penerangan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Leben Siddarth, dan Presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM), Ahmad Jufliz Faiza.
Bawani, 39, yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dari Universiti Utara Malaysia (UUM), aktif mewakili pelbagai komuniti sebagai peguam hak asasi manusia.
Pada PRU15 lalu, Bawani bertanding di kerusi DUN Ayer Kuning dalam pertembungan lima penjuru yang dimenangi oleh calon Barisan Nasional (BN), Allahyarham Ishsam Shahruddin.
Pada PRU14, beliau menjadi calon PSM bagi kerusi DUN Malim Nawar, namun tewas selepas hanya memperoleh 213 undi.
Sementara itu, Dr Jeyakumar berkata, Bawani dianggap sebagai calon yang paling sesuai dan kuat untuk mencabar wakil daripada dua gabungan parti utama negara.
"PRK kali ini menandakan detik penting kerana ia merupakan kali pertama PSM, MUDA, dan PRM bersama-sama menyokong seorang calon.
"Kerjasama ini diharap dapat membina momentum bagi kuasa politik ketiga dalam pilihan raya umum akan datang," katanya.
Menurutnya, pemilihan anak jati tempatan itu akan berperanan sebagai semak dan imbang terhadap suara rakyat dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak kelak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
