Sering minta wang main judi mesin, lelaki maut ditikam kekasih

BATAM – Tidak tahan dengan sikap kekasih sering minta wang untuk bermain judi, seorang wanita bertindak menikam teman lelakinya itu hingga maut dalam kejadian di sebuah rumah sewa di Lubuk Baja, Kota Batam.
Kejadian tragis itu bermula selepas pertengkaran antara wanita berusia 25 tahun, Fania Putri dan kekasihnya, CLP yang sering meminta wang untuk bermain judi mesin.
Menurut Fania, selepas pertengkaran yang semakin memuncak, CLP dipercayai telah mencekik lehernya.
Dalam keadaan panik dan emosi yang tidak terkawal, Fania bertindak mengambil sebilah pisau dapur yang terletak di atas meja lantas menikam tubuh kekasihnya itu.
"Saya kesal kerana dia selalu meminta wang untuk berjudi. Kami bertengkar hingga akhirnya saya bertindak menikamnya," kata Fania, lapor Tvonenews.com.
Fania dan CLP dikatakan telah menjalinkan hubungan selama setahun dan tinggal bersama di rumah sewa tersebut.
Pihak polis kini telah menahan Fania untuk siasatan lanjut dan mengesahkan bahawa suspek berada dalam tahanan di Balai Polis Lubuk Baja untuk menjalani proses undang-undang seterusnya. -Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

