Pergaduhan berdarah, lelaki maut selepas serang jiran
MARAN - Seorang wanita dan remaja lelaki cedera selepas diserang jiran dengan menggunakan pisau selepas terbabit dalam pergaduhan di Felda Jengka Dua di sini pada Ahad.
Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Maran, Superintenden Wong Kim Wai berkata, dalam kejadian tersebut, jiran yang juga suspek iaitu lelaki berusia 57 tahun meninggal dunia selepas disahkan oleh pembantu perubatan (MA) Hospital Jengka.
Menurutnya, pihak polis yang tiba di tempat kejadian mendapati suspek dalam keadaan tidak sedarkan diri serta terikat kaki dan tangan oleh penduduk kampung.
"Sebelum itu, Balai Polis Sungai Jerik telah menerima panggilan telefon pada jam 10.15 pagi yang memaklumkan terdapat pergaduhan antara seorang perempuan dan dua lelaki di tempat kejadian.
"Menurut saksi, suspek yang juga jiran mangsa secara tiba-tiba telah mengamuk dan bertindak agresif sehingga mencederakan dua mangsa menggunakan pisau.
"Punca kejadian masih dalam siasatan dan dua individu mengalami kecederaan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Ujarnya, mangsa iaitu wanita berusia 52 tahun mengalami kecederaan dengan kesan tikaman pada perut sedalam tiga sentimeter, tangan kanan cedera pada bahagian dagu dan berada dalam keadaan stabil di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh.
Jelas beliau, seorang lagi mangsa iaitu anak saudara kepada wanita tersebut iaitu remaja lelaki berusia 16 tahun mengalami kecederaan akibat kesan tikaman pada peha kanan sedalam dua sentimeter dan sudah dibenarkan keluar dari hospital sama.
Katanya, ekoran kejadian itu, empat lelaki telah ditahan dan akan direman sehingga bedah siasat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Kuantan selesai pada Isnin untuk mendapatkan punca kematian.
"Selepas itu, baru siasatan ke atas empat suspek tersebut akan dapat diteruskan.
"Pihak forensik juga berjaya mendapatkan pisau yang digunakan untuk mencederakan mangsa," tambahnya.
Dalam pada itu, beliau memohon semua pihak jangan menularkan gambar suspek dan mangsa di media sosial kerana ini akan menganggu siasatan polis.
Tegasnya, tindakan perundangan akan dikenakan kepada yang bertanggungjawab menyebarkan gambar tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

