Tiga kali jalani pembedahan akibat diserang gajah

KOTA BHARU - Sambutan Aidilfitri keluarga warga emas yang parah diserang gajah liar dalam kejadian di Kampung Laloh, Kuala Krai suram kerana warga emas itu masih dirawat menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP)
Zainab Mat Husin, 62, baharu sahaja menjalani pembedahan kali ketiga untuk membuang daging buruk di bahagian paha kanan bagi mengelak jangkitan kuman.
Zainab diserang haiwan berkenaan ketika sedang menoreh getah di belakang rumahnya pada 20 Mac lalu.
Akibat serangan haiwan berkenaan, warga emas itu parah di pergelangan tangan kanan manakala paha kanan pula terkoyak.
Menantunya, Nisha Ali, 37, memberitahu, keadaan Zainab juga lemah dan perlu dibantu ahli keluarga untuk bergerak.
"Sambutan Aidilfitri keluarga tidak semeriah sebelum ini.
"Ibu mentua saya juga masih trauma dan memerlukan perhatian serta sokongan keluarga," katanya.
Menurutnya lagi penduduk di kampung itu masih bimbang dan berwaspasa untuk keluar menoreh getah di kawasan serangan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Media sebelum ini melaporkan, seorang wanita warga emas dan seorang kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) cedera parah diserang gajah liar dalam dua kejadian berasingan di kawasan penempatan Laloh, Kuala Krai
Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim memaklumkan siasatan mendapati gajah liar itu bertindak agresif menyebabkan mangsa berusia 40 tahun cedera pada lutut kaki kanan akibat ditusuk gading.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!