Pemilik 'dashcam' diminta tampil bantu siasatan

Pemilik kamera papan pemuka yang berjaya merakam kemalangan tragis dekat Terowong Menora di sini Ahad lalu diminta tampil bagi membantu siasatan polis.
Pemilik kamera papan pemuka yang berjaya merakam kemalangan tragis dekat Terowong Menora di sini Ahad lalu diminta tampil bagi membantu siasatan polis.
A
A
A

IPOH - Pemilik kamera papan pemuka (dashcam) yang berjaya merakam kemalangan tragis dekat Terowong Menora di sini Ahad lalu diminta tampil bagi membantu siasatan polis.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, dalam kes itu, kerjasama pemilik dashcam penting untuk pihaknya melengkapkan siasatan.

Menurutnya, penelitian terhadap rakaman dashcam yang tular di media sosial itu mendapati, sebuah pacuan empat roda telah menggilis mangsa dan melarikan diri dari tempat kejadian.

"Kita masih berurusan dengan Plus (Plus Malaysia Berhad) untuk semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

"Saksi-saksi awam yang melihat kejadian itu juga diminta segera menghubungi polis bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya ketika dihubungi di sini pada Khamis.

Dalam kejadian sekitar jam 6.45 petang itu, Naira Falisha Abdul Rahman, 2, meninggal dunia selepas tercampak keluar dari kereta jenis Perodua Bezza dipandu bapanya yang terbabas di Kilometer 264.4, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan selepas Terowong Menora di sini.

Ibunya, Nur Fatihah Badrul Hisham, 25, menghembuskan nafas terakhir pada jam 9 pagi pada Isnin ketika mendapat rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Pemandu kereta, Abdul Rahman Abdul Rahim, 29, yang mengalami kecederaan di muka dan tangan masih menerima rawatan di hospital.

Terdahulu, tular satu hantaran di media sosial, ahli keluarga mangsa meminta bantuan orang ramai bagi mengesan pemilik kenderaan yang terlibat kemalangan mengorbankan seorang wanita hamil dan anak perempuannya berusia dua tahun.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkongsian itu, individu dipercayai adik mangsa memaklumkan, berlaku unsur langgar lari dalam nahas terbabit membabitkan beberapa kenderaan.

Sementara itu, mengulas dakwaan berlaku kehilangan barang peribadi milik mangsa termasuk wang tunai, dompet dan barangan kemas, Abang Zainal Abidin berkata, setakat ini tiada pihak tampil membuat aduan berhubung kehilangan tersebut.

"Kita berusaha menghubungi keluarga iaitu adik mangsa yang menularkan kehilangan itu, tetapi belum menerima jawapan. Mesej dihantar tidak mendapat maklum balas," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!