[VIDEO] Dua lelaki didakwa perdagang warga Malaysia ke Myanmar
BATU PAHAT - Seorang tukang masak dan penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, pada Khamis atas dua tuduhan memperdagang dua individu yang juga warga Malaysia di Myanmar antara Disember tahun lalu hingga Februari tahun ini.
Tertuduh, Wong Jun Wei, 26, dan Jasper Yap En Wai, 20, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Majistret Arun Noval Dass.
Berdasarkan pertuduhan kedua-dua tertuduh didakwa memperdagangkan seorang lelaki dan wanita warga Malaysia berusia 26 tahun dan 34 tahun bagi tujuan eksploitasi kerja dengan cara perdayaan.
Kedua-duanya didakwa bersama-sama melakukan kesalahan itu antara 15 Disember 2024 hingga 14 Februari 2025 di Yatai, Shwekokko, Myanmar.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sekiranya disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Othman Affan Ismail manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Tan Song Yan.
Sebelum itu, Othman Affan memohon mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh atas alasan keseriusan kes.
Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 7 April bagi membolehkan lantikan peguam dan serahan dokumen.
Sebelum itu, pada 17 Mac lalu media melaporkan polis menahan seorang daripada 25 rakyat Malaysia yang diselamatkan daripada menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Myanmar pada 12 Mac lepas, setelah siasatan mendapati dia dipercayai berperanan merekrut warga tempatan untuk sindiket berkenaan.
Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus berkata, lelaki berusia 20 tahun itu ditahan selepas polis melakukan tapisan dan soal siasat terhadap kesemua mangsa yang dibawa pulang menerusi bas dari Wilayah Tak, Thailand pada tarikh berkenaan.
Pada 12 Mac lepas, 25 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan dibawa pulang melalui Mae Sot, Wilayah Tak, utara Thailand selepas diserahkan oleh pihak berkuasa Myanmar kepada Kedutaan Malaysia melalui pihak berkuasa Thailand.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

