Mangsa kebakaran Putra Heights layak terima zakat - Dr Zulkifli

Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
A
A
A

SUBANG JAYA – Institusi zakat, badan bukan kerajaan (NGO) Islam serta individu berkemampuan diseru menyalurkan bantuan zakat kepada mangsa kebakaran paip gas di Putra Heights.

Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, kebakaran itu mengakibatkan kemusnahan harta benda serta menjejaskan kehidupan 112 mangsa dan keluarga mereka.

Menurutnya, mangsa kebakaran boleh dikategorikan sebagai asnaf al-gharimin, iaitu golongan yang berhutang, sekiranya mereka memerlukan dana untuk pemulihan kehidupan dan pembayaran liabiliti akibat insiden tersebut.

“Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Rasulullah SAW membenarkan individu yang ditimpa musibah menerima bantuan sehingga mereka dapat kembali kepada kehidupan yang stabil.

“Bantuan zakat hendaklah didahulukan kepada mereka yang benar-benar memerlukan, seperti mereka yang kehilangan tempat tinggal, punca pendapatan atau menanggung hutang akibat kebakaran,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa malam.

Dr Zulkifli turut menekankan bahawa pemberian zakat dalam bentuk wang tunai lebih utama bagi membantu mangsa menanggung kos pemulihan, baik pulih rumah serta memenuhi keperluan asas pasca-bencana.

Beliau juga menggalakkan umat Islam menzahirkan solidariti melalui sedekah bagi membantu mangsa, termasuk dalam kalangan bukan Muslim.

“Agihan zakat boleh dilakukan melalui pusat zakat negeri, NGO Islam yang dipercayai atau secara terus kepada mangsa yang layak.

“Namun, dana zakat tidak seharusnya bercampur dengan sumber lain bagi memastikan ia digunakan sepenuhnya untuk pemulihan mangsa,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau menambah, bagi mangsa yang terkandas di luar kawasan kediaman akibat kebakaran, mereka boleh dikategorikan sebagai asnaf ibn sabil yang layak menerima zakat bagi membantu mereka kembali ke tempat asal.

“Selain itu, mereka yang masih memiliki aset seperti rumah dan tanah tetapi kekurangan dana cair juga boleh menerima zakat mengikut kadar yang ditentukan oleh institusi zakat.

“Semoga bantuan ini dapat meringankan beban saudara-saudara kita yang terkesan dan menjadi amal soleh yang diterima di sisi ALLAH SWT,” tambahnya.

Beliau turut memetik sabda Rasulullah SAW: “Dan ALLAH SWT menolong hambanya selama mana hamba itu menolong saudaranya.” (Riwayat Muslim).

Menerusi inisiatif ini, diharapkan lebih ramai pihak tampil menghulurkan bantuan bagi membantu mangsa kebakaran di Putra Heights untuk kembali bangkit selepas musibah yang menimpa mereka.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!