Mayat lelaki dikhuatiri lemas ditemukan dengan kesan luka

TANGKAK - Seorang lelaki yang dilaporkan hilang dipercayai terjatuh dan hanyut di kawasan Sungai Lubok Kedondong, di sini, ditemukan lemas pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd Talib berkata, penemuan mayat tersebut dimaklumkan oleh orang awam kepada pihak polis kira-kira jam 9.15 pagi.
"Kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin kemudian menemukan mayat tersebut dalam radius pencarian kira-kira 800 meter.
"Mangsa disahkan sudah meninggal dunia dan keadaan tubuh mangsa terdapat sedikit luka, mungkin kesan daripada aliran arus yang deras," katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini, seorang lelaki warga India berusia 27 tahun dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras di kawasan Air Terjun Asahan pada Isnin.
Menurut laporan, mangsa bersama dua rakannya sedang mandi di kawasan berkenaan sebelum tiba-tiba berlaku fenomena kepala air.
Katanya, akibat arus deras, mangsa gagal menyelamatkan diri dan dihanyutkan, manakala dua rakannya berjaya ke tebing.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa mayat mangsa dibawa ke hospital untuk tujuan bedah siasat dan tindakan lanjut.
Ujarnya, siasatan terhadap kes berkenaan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR), namun siasatan masih diteruskan.
"Pihak polis merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha pencarian.
"Ibu bapa perlu memantau anak-anak dan mengelak mereka bermain semasa musim hujan di kawasan berisiko, terutama air terjun serta sungai," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

